OIC, M’sia teruskan proses damai

OIC, M’sia teruskan proses damai

BANGKOK, 13 Jan (Bernama) – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sedang bekerjasama rapat dengan Malaysia bagi memastikan proses damai yang ‘tergendala dan terbantut’ di selatan Filipina, yang diaturkan oleh Kuala Lumpur, digerakkan semula.

Setiausaha Agungnya Iyad Ameen Madani menarik perhatian bahawa ‘perbincangan kongresional’ di Filipina antara faktor yang menjadi halangan dalam proses damai antara Manila dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

“Proses (damai) itu bergerak perlahan, tergendala dan terbantut akibat perbincangan kongresional.

“Kami masih percaya ia peluang yang tidak akan lenyap. Oleh itu, kami bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kami di Malaysia kerana Malaysia yang menerajui (proses damai di selatan Filipina),” kata beliau kepada wartawan dalam temu bual pada akhir lawatan tiga harinya ke Thailand pada lewat malam Selasa.

Malaysia bertindak sebagai perantara dalam rundingan damai antara kerajaan Filipina dan kumpulan pemisah terbesar itu di Filipina sejak 2001, sehingga membolehkan kedua-dua pihak memeterai perjanjian damai pada 27 Mac, 2014.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kunjungan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Tan Sri Iyad Ameen Madani di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra hari ini. – Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima kunjungan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Tan Sri Iyad Ameen Madani di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra hari ini. – Bernama

Keganasan yang berlarutan selama beberapa dekad di selatan Filipina telah meragut beribu-ribu nyawa di wilayah kaya sumber itu. Setiausaha Agung OIC itu mengadakan lawatan ke Malaysia minggu lepas, sebelum mengunjungi Thailand.

Madani berada di Filipina tidak berapa lama dahulu dan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan presiden kerajaan dan kepimpinan kongres mengenai proses damai di selatan negara itu.

“Kami (OIC) juga turun ke selatan dan berbincang dengan barisan puak pemisah yang berlainan,” kata beliau.

Mengenai isu-isu melibatkan masyarakat Rohingya di Myanmar, Madani berkata beliau menghantar surat kepada Aung San Suu Kyi baru-baru ini selepas parti pimpinannya menang besar dalam pilihan raya umum negara itu dan mengambil alih kepimpinan negara.

“Kami masih berusaha untuk mengetahui sama ada kami boleh mendapatkan maklum balas positif daripada Myanmar. Kami telah menghantar surat kepada Aung San Suu Kyi, dan melahirkan harapan kami bahawa dengan berakhirnya pilihan raya, kemenangan besar partinya, keadaan akan bertambah baik, dan sikap juga bertambah baik,” kata beliau.

Madani berkata situasi yang menimpa masyarakat Rohingya di Myanmar adalah “melangkaui masalah dalaman (negara), ia adalah masalah hak asasi manusia dan masalah hak kebangsaan.”

Beliau berkata masyarakat Rohingya yang dinafikan hak kewarganegaraan dan tidak dibenarkan bertanding apa-apa jawatan, telah wujud bersama-sama dengan kumpulan etnik lain di Myanmar selama berabad-abad lamanya dan ia harus diteruskan.

Menurutnya sejak sekian lama, OIC cuba mengadakan ‘saluran komunikasi’ dengan Yangon bagi menawarkan bantuan pertubuhan itu dalam menangani isu kemanusiaan di Myanmar.

OIC akan terus bekerjasama rapat dengan negara-negara serantau dan ASEAN melalui hubungan dua hala dengan Yangon bagi membawa kesan positif mengenai isu Rohingya, katanya.

Madani juga menghargai usaha yang dijalankan oleh Thailand, Indonesia, Malaysia dan Bangladesh bagi menangani krisis kemanusiaan yang dihadapi masyarakat Rohingya.