Old Trafford digegarkan bungkusan mencurigakan

Old Trafford digegarkan bungkusan mencurigakan

MANCHESTER, 16 Mei (AFP) – Unit pemusnah bom sudah meletupkan secara terkawal bungkusan yang mencurigakan yang ditemui di Stadium Old Trafford.

Sebelum itu, unit pemusnah bom tentera dikerah ke laman Manchester United itu selepas bungkusan mencurigakan berkenaan ditemui.

Dua kawasan tempat duduk, Sir Alex Ferguson Stand dan Stretford End, terpaksa dikosongkan beberapa minit sebelum perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Bournemouth. Perlawanan yang dijadualkan pada 10 malam tadi terpaksa ditangguhkan dengan polis Manchester dan United mengesahkan perkara terbabit.

Terdahulu, ‘Operasi kod merah’ diumumkan menerusi sistem amaran. Anjing pengesan bom juga dibawa pihak berkuasa ke tempat kejadian.

Begitupun, peminat dilihat masih berada di kawasan tempat duduk lain ketika kawasan terbabit dikosongkan.

Keadaan para penyokong yang berada di luar Stadium berikutan dengan kejadian bungkusan yang mencurigakan ditemui di stadium tersebut. – AP
Keadaan para penyokong yang berada di luar Stadium berikutan dengan kejadian bungkusan yang mencurigakan ditemui di stadium tersebut. – AP

EPL sudah mengumumkan akan mengatur tarikh perlawanan secepat yang mungkin.

“Perlawanan itu sudah tentu perlu dimainkan namun terdapat beberapa isu logistik yang perlu diselesaikan,” menurut kenyataan itu.

Walau bagaimanapun bungkusan mencurigakan yang menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester United dan Bournemouth ditangguhkan di Old Trafford malam tadi, sebenarnya adalah alat replika yang ditinggalkan selepas latihan di padang berkenaan, lapor pihak polis.

Di sebalik kebimbangan sebahagian besar Eropah atas kemungkinan serangan militan, Polis Greater Manchester mengesahkan lewat semalam, letupan terkawal digunakan untuk memusnahkan alat berkenaan yang ditinggalkan di dalam tandas dekat Stretford End pada Rabu lalu.

Penolong Ketua Konstabel GMP, John O’Hare berkata: “Selepas letupan yang dikawal hari ini, kami mendapati alat berkenaan ialah perkakasan latihan yang secara tidak sengaja ditinggalkan oleh syarikat swasta selepas latihan membabitkan anjing pengesan bahan letupan.

“Alat ini bukanlah bahan letupan, ia dilihat seperti bahan letupan sebenar, dan keputusan untuk mengosongkan stadium adalah perkara yang seharusnya dibuat, sehingga kita benar-benar dapat memastikan orang ramai tidak berdepan risiko.”

Liga Perdana Inggeris berkata, jadual perlawanan membabitkan aksi terakhir liga musim ini akan dilangsungkan pada Selasa.

ARTIKEL YANG SAMA