Oldstars berjaya dahului M.O.D

Oldstars berjaya dahului M.O.D

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Oldstars memberikan kejutan pertama dan terbesar Piala FA, Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan (KBVK) DST Kali Ke-7, 2016 apabila berjaya menjinakkan juara bertahan, M.O.D. (Kementerian Pembangunan) dengan jaringan 4-2.

Pada perlawanan pertama Piala FA, KBVK DST Kali Ke-7, 2016 berkenaan, Oldstars sudah mendahului 2-0 semasa rehat hasil jaringan Yugi Fhiono pada minit ke-15 dan Tobby Kroon pada minit ke-27. Ketika aksi di Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR) berkenaan disambung selepas rehat Oldstars terus mengejutkan M.O.D. apabila giliran Pengiran Kahar bin Pengiran Serudin pula mencetak namanya sebagai penjaring pada minit ke-65 untuk Oldstars semakin selesa mendahului 3-0.

Awang Azmanuddin bin Haji Gillen kemudiannya menggegar gawang Oldstars pada minit ke-76 menerusi sepakan penalti selepas rakannya dijatuhkan pertahanan Oldstars di dalam petak, untuk merapatkan kembali jurang kedudukan kepada dua gol iaitu 1-3.

Beberapa minit kemudian keadaan menjadi ‘panas’ apabila pergaduhan berlaku namun berjaya dikawal pengadil perlawanan dan pembantunya, namun telah menyebabkan seorang pemain daripada kedua-dua pasukan dibuang padang.

Aksi tangkas Domingo (kanan) di gawang Oldstars berjaya membantu pasukannya mengejutkan juara bertahan Piala FA KBVK DST, M.O.D. (hijau) dengan jaringan 4-2.
Aksi tangkas Domingo (kanan) di gawang Oldstars berjaya membantu pasukannya mengejutkan juara bertahan Piala FA KBVK DST, M.O.D. (hijau) dengan jaringan 4-2.

Pada keadaan kedua-dua pasukan hanya bermain dengan 10 pemain, Pengiran Kahar berjaya meloloskan dirinya di sebelah kiri petak D M.O.D. untuk hanya berdepan dengan penjaga gol lawan, dan beliau melepaskan rembatan kencang ke bumbung gawang untuk membawa Oldstars mendahului 4-1 pada minit ke-88.

M.O.D. bagaimanapun terus berjuang dan berjaya menyumbat satu gol lagi pada minit ke-90 hasil sepakan jarak jauh Abang Norsilmy bin Abang Taha, namun ternyata jaringan itu agak lewat untuk membantu M.O.D. merealisasikan impiannya mempertahankan kejuaraannya musim lalu.

Kejayaan Oldstars berkenaan turut disumbangkan oleh penjaga golnya, Domingo Kapal, yang tangkas keluar awal dari gawangnya dan memenangi bola tinggi hantaran lintang lawan sehingga berjaya menggagalkan banyak percubaan dan mematahkan serangan-serangan bahaya M.O.D.

ARTIKEL YANG SAMA