Olimpik Brazil tetap diteruskan

Olimpik Brazil tetap diteruskan

RIO DE JANERIO, 3 Feb – Kerajaan Brazil mengumumkan penganjuran Olimpik 2016 di Rio de Janerio akan tetap diteruskan meskipun negara tersebut kini dilanda ancaman penyebaran virus Zika.

Keputusan itu sekali gus mencetuskan keraguan penduduk dunia berhubung tahap keselamatan di Brazil apabila kerajaan Honduras bertindak sebaliknya dengan mengisytiharkan darurat bagi mengekang penularan jangkitan virus tersebut selepas Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menuntut setiap negara mengambil langkah berjaga-jaga.

Pihak berkuasa Brazil menerusi satu kenyataan semalam berkata, hanya wanita mengandung dilarang memasuki negara itu sepanjang temasya Olimpik berlangsung, manakala atlet dan penonton pula dikatakan tidak terdedah kepada risiko jangkitan.

“Risiko hanya akan menjadi serius sekiranya melibatkan jangkitan kepada ibu mengandung. Nasihat ini (larangan memasuki Brazil) hanya ditujukan kepada wanita-wanita mengandung kerana kami tidak mahu mereka terdedah kepada risiko,” ujar Presiden Dilma Rouseff, Jaques Wagner.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Brazil mendedahkan, kira-kira 25 peratus penduduk melibatkan 49 juta isi rumah di negara tersebut telah menjalani ujian kesihatan bagi mengawal jangkitan virus yang mula dikesan di Afrika pada 1947 itu.

Honduras pula mencatat 3,649 kes yang berisiko terkena jangkitan virus tersebut sejak tiga bulan lalu sebelum bertindak mengisytiharkan darurat. – Agensi