Olimpik bukan gelanggang profesional

Olimpik bukan gelanggang profesional

LONDON (Agensi) – Bekas juara dunia dan pemenang emas Olimpik, Lennox Lewis membidas cadangan membenarkan petinju profesional beraksi di gelanggang Olimpik kerana ia berbahaya untuk petinju amatur.

Pada temasya Olimpik 1998 di Seoul, Lewis meraih pingat emas untuk Kanada menerusi acara super-heavyweight sebelum beralih ke gelanggang profesional mewakili Britain bagi memburu gelaran juara dunia.

“Bagi saya, ia (cadangan) tidak munasabah kerana perbezaan tahap. Sistem amatur dibuat berdasarkan kriteria amatur dan atas sebab itu mereka memakai sarung kepala kerana mereka kurang berpengalaman. Mereka (petinju amatur) juga belum berada di kemuncak sebagai petinju profesional.

“Kini (selepas cadangan tersebut dibuat), petinju profesional yang memiliki gelaran juara atau berada dalam kelompok 10 terbaik dunia juga mahu beraksi bertarung dengan mereka yang masih amatur. Bagi saya, ia tidak adil,” kata Lewis.

Lewis menambah, ia tidak adil sekiranya juara dunia dari Britain, Anthony Joshua yang pernah memenangi pingat emas Kategori Super-Heavyweight ketika temasya Olimpik London 2012, kembali beraksi untuk bertarung dengan petinju muda amatur.

“Perlawanan lebih adil jika Joshua menentang Vladimir Klitschko pada temasya itu (Olimpik) kerana Vladimir memiliki 70 rekod perlawanan sebagai petinju profesional.

“Bagaimanapun, Joshua akan beraksi sebagai petinju profesional untuk menentang petinju berusia 18 tahun yang hanya memiliki 10 rekod perlawanan amatur. Ia sangat tidak wajar,” tambah Lewis.

ARTIKEL YANG SAMA