Olimpik Rio terus diuji

Olimpik Rio terus diuji

RIO DE JANEIRO, 13 Ogos – Rio de Janeiro boleh berbangga selepas empat acara ujian Olimpik sudah diadakan setakat ini, ketua jawatankuasa penyelaras Rio 2016 berkata semalam dengan para pegawai sekali lagi meyakinkan laluan air tidak menjejaskan keselamatan atlet.

“Saya berada di acara ekuestrian dan amat berbangga serta gembira melihat bagaimana ia dianjurkan,” Pengerusi Suruhanjaya Penyelarasan IOC Sukan Olimpik 2016 Nawal el Moutawakel, memberitahu pemberita.

“Kita sudah melihat acara bola tampar, triathlon, mendayung dan acara ekuestrian berjalan dengan lancar dengan sukan yang lebih menarik juga akan diadakan dalam beberapa minggu. Ini menunjukkan keupayaan penganjur untuk menganjurkan Sukan Olimpik dengan jayanya tahun depan.”

Menjawab laporan bebas mengenai tahap bahaya yang tinggi virus dan bakteria dalam air di laluan pekayuh, perenang dan acara triathlon, pegawai IOC mengulangi bahawa keselamatan atlet diberi keutamaan.

Lautan dan air lagun di mana acara berlangsung memenuhi standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kata pengarah eksekutif IOC, Christophe Dubi.

Komen-komen itu diutarakan semasa mesyuarat penyelarasan kedua terakhir sebelum temasa pertama di Amerika Selatan itu bermula tahun depan.

Bagaimanapun, beberapa soalan masih belum terjawab mengenai persediaan Rio, dengan El Moutawakel mengakui acara ujian berbasikal jalan Ahad depan telah diubah kerana pergolakan politik. Masa permulaan telah ditunda dan titik permulaan dipindahkan untuk mengelakkan pertembungan dengan protes yang dirancang terhadap Presiden Brazil Dilma Rousseff.

Ekonomi Brazil telah terhenti dan penarafan Rousseff adalah yang paling rendah pernah bagi seorang pemimpin Brazil. Beratus ribu orang dijangka turun ke jalan raya di seluruh negara Ahad ini untuk menggesa agar beliau didakwa.

“Sukan mempunyai daya tarikan yang kuat untuk Brazil,” kata El Moutawakel sambil menambah dia tidak bimbang pergolakan politik akan menjejaskan sukan itu. – Reuters