Oliveira, Dani Alves selamatkan maruah Brazil

Oliveira, Dani Alves selamatkan maruah Brazil

ASUNCION (PARAGUAY), 30 Mac (Agensi) – Brazil bangkit daripada ketinggalan untuk seri 2-2 menentang Paraguay hasil jaringan lewat Ricardo Oliveira dan Dani Alves pada kempen kelayakan Piala Dunia, sebentar tadi.

Oliveira menjaringkan gol pada minit ke-79, manakala Alves meledak gol penyamaan ketika aksi memasuki 90 saat dalam masa kecederaan untuk menyelamatkan Brazil daripada kekalahan memalukan.

Paraguay mendahului 1-0 menerusi jaringan Dario Lezcano pada minit ke-40 hasil percubaan dari jarak 10 meter yang menyaksikan bola sekadar melintasi kepala penjaga gol Brazil, Alisson.

Edgar Benitez menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-49 dengan percubaan tepat gawang selepas Paraguay berjaya membelah pertahanan Brazil untuk mencipta jaringan.

Alves (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya ketika menentang Paraguay di Asuncion. Brazil bangkit daripada ketinggalan untuk seri 2-2 menentang Paraguay hasil jaringan lewat Oliveira dan Alves. – Reuters

Brazil bermain tanpa penyerang Neymar dan pertahanan tengah David Luiz selepas kedua-duanya digantung kerana mengumpul kad kuning.

Kali terakhir Paraguay menewaskan Brazil adalah pada tahun lalu dalam kempen Copa Amerika apabila mereka menang 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Brazil kini mengumpul sembilan mata daripada enam perlawanan dan menghuni kedudukan keenam dalam carta, berkongsi mata dengan Paraguay di kedudukan ketujuh.