Olmert jalani hukuman penjara 18 bulan

Olmert jalani hukuman penjara 18 bulan

BAITULMUQADDIS, 29 Dis – Mahkamah tinggi Israel hari ini mengesahkan sabitan rasuah ke atas bekas perdana menteri Ehud Olmert, yang akan menjadikannya bekas perdana menteri yang pertama di negara itu menjalani hukuman penjara.

Olmert bekas perdana menteri dari 2006 hingga 2009 berusia 70 tahun, telah dijatuhkan hukuman penjara enam tahun pada Mei 2014 atas dua tuduhan berasingan mengambil rasuah.

Mahkamah Tinggi hari ini mengurangkan hukumannya kepada 18 bulan penjara, dan melepaskannya daripada salah satu tuduhan, menurut keputusan yang disaksikan oleh AFP.

“Olmert telah dibebaskan daripada tuduhan feloni mengambil rasuah sebanyak 500,000 shekel (AS$128,500),” menurut keputusan itu, namun ‘sebulat suara menyabit salah feloni mengambil rasuah sebanyak 60,000 shekel’.

“Hukuman akan dijatuhkan selama 18 bulan” bermula pada 15 Februari, menurut keputusan yang dicapai oleh lima hakim.

Ehud Olmert dilihat di dalam bilik mahkamah ketika dia menunggu hakim di Mahkamah Tinggi di Baitulmuqaddis pada 29 Disember. – AFP
Ehud Olmert dilihat di dalam bilik mahkamah ketika dia menunggu hakim di Mahkamah Tinggi di Baitulmuqaddis pada 29 Disember. – AFP

Perbicaraan bekas perdana menteri dan 15 lagi defendan, yang berakhir lebih dua tahun, adalah berkaitan dengan pembinaan kompleks besar kediaman Holyland Baitulmuqaddis apabila Olmert berkhidmat sebagai datuk bandar.

Pada 2010, dia telah dinamakan suspek utama dalam apa yang dikenali sebagai urusan Holyland, dituduh menerima ratusan ribu shekel kerana membantu pemaju mendapat projek melepasi pelbagai halangan perundangan dan perancangan.

Projek pembinaan yang menjulang tinggi, yang mendominasi latar langit bandar itu, dilihat sebagai pencemaran besar ke atas landskap dan meluasnya dicerca sebagai satu simbol rasuah berperingkat tinggi.

Rasuah 500,000 shekel itu berkaitan dengan urusan Holyland, sementara rasuah 60,000 itu tidak.

“Beban berat telah diangkat dari dada saya hari ini, apabila Mahkamah Tinggi melepaskan saya daripada tuduhan utama, Holyland,” Olmert yang kelihatan letih memberitahu para wartawan di luar bilik mahkamah.

“Saya tidak pernah memberi rasuah, mahupun mengambil sebarang rasuah,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA