OM tersingkir, PSG mara ke separuh akhir Piala Liga

OM tersingkir, PSG mara ke separuh akhir Piala Liga

PARIS, 14 Jan (AFP) – Marseille menerima tamparan baharu pada musim ini apabila pasukan Ligue 1 itu tersingkir daripada saingan Piala Liga Perancis, manakala musuh ketat mereka, Paris Saint Germain (PSG) meneruskan kemaraan ke pusingan separuh akhir.

Toulouse menamatkan harapan Marseille dengan kemenangan 2-1 pada masa tambahan saingan pusingan suku akhir itu di Velodrome, menerusi sentuhan Ben Yedder dan pemain Denmark, Martin Braithwaite.

“Ia sudah pasti sangat mengecewakan,” kata pengurus Marseille, Michel. “Kami mempunyai 11 pemain yang cedera buat masa ini tetapi saya tidak mahu menggunakannya sebagai alasan.”

Toulouse disertai Lille yang menewaskan Guingamp 4-2 menerusi penalti selepas masa tambahan berakhir tanpa gol, dengan penjaga gol Lille, Vincent Enyeama berjaya menghalang dua gol. Juara bertahan, PSG pula menempah ke pusingan seterusnya dengan gol di setiap babak hasil jaringan Adrien Rabiot dan Lucas.

Pemain PSG meraikan jaringan semasa menentang Lyon dalam aksi Piala Liga Perancis di stadium Parc des Princes, semalam. – AFP
Pemain PSG meraikan jaringan semasa menentang Lyon dalam aksi Piala Liga Perancis di stadium Parc des Princes, semalam. – AFP

Jaringan itu dibantu oleh Angel Di Maria yang dimasukkan sebagai pemain gantian untuk memastikan pendahulu Ligue 1 itu dengan kemenangan 2-1 di laman sendiri buat menewaskan Lyon dan memastikan pemburuan gelaran kali ketiga itu berhasil.

“Di Maria yang melakukan perubahan. Dia mempamerkan apa yang dia mampu lakukan,” kata jurulatih PSG, Laurent Blanc. Satu lagi pasukan yang akan ke separuh akhir adalah Bordeaux yang menewaskan Lorient 2-0.

Untuk perlawanan separuh akhir pada 26 Januari nanti, PSG akan menentang Toulouse manakala Lille pula akan berhadapan Bordeaux.

ARTIKEL YANG SAMA