Ombak laut su...

Ombak laut sumber tenaga elektrik baharu pada 2019

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Satu lagi usaha menjana tenaga elektrik dari pukulan ombak laut.

Usaha terbaru ini dilaksanakan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi projeknya dikenali ‘Hydraulic Wave Energy Converter System’ yang berperanan menyerap kuasa ombak sebelum diproses menjadi sumber tenaga elektrik.

Projek berkenaan adalah hasil tenaga dan fikiran tiga orang pelajar ijazah sarjana Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan UMT bersama pensyarah mereka, Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim selaku ketua.

Seorang anggota kumpulan itu, Khairul Anwar Mohmad, pelajar Ijazah Sarjana Fizik (Tenaga Diperbaharui) berkata, “Melihatkan kawasan UMT yang berhampiran dengan laut, kami mendapat idea untuk menggunakan ombak, sumber alam semula jadi ini, untuk projek tersebut”.

Inovasi itu menyerupai aplikasi penggunaan tenaga berasaskan sumber cahaya suria (sistem solar) dan sumber angin (sistem kincir), katanya kepada Bernama di Pameran Elektrik, Kuasa dan Tenaga Diperbaharui Malaysia 2017 di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, sistem itu akan ditempatkan di kawasan pantai berhampiran UMT, dan bersifat kalis air serta tahan lasak untuk menerima pukulan ombak. “Bila sistem ini menerima pukulan ombak setinggi tiga meter secara konsisten dalam tempoh satu jam, ia mampu menjana bekalan elektrik sehingga 40kW atau bersamaan penggunaan untuk empat buah rumah selama sebulan,” katanya.

Khairul Anwar berkata, pada peringkat awal, tenaga yang dijana akan dibekalkan secara percuma kepada masyarakat di perkampungan nelayan di Kuala Terengganu.  – Bernama