O’Neill tarik nafas lega

O’Neill tarik nafas lega

LYON, 17 Jun (AFP) – Michael O’Neill menganggap kemenangan 2-0 Ireland Utara ke atas Ukraine, awal pagi tadi sebagai detik paling membanggakan sepanjang kariernya, sekali gus menghidupkan semula perjuangan mereka dalam Kumpulan C, EURO 2016.

Tandukan pertahanan tinggi lampai, Gareth McAuley, dan ledakan masa kecederaan, Niall McGinn di Lyon memberi talian hayat buat Ireland yang perlu menewaskan juara dunia Jerman dalam pertemuan terakhir Kumpulan C, Rabu ini.

“Ia memberi kami peluang untuk melayakkan diri,” kata O’Neill secara berseloroh. “Peluang masih terbuka bagi kumpulan ini, tetapi kami mahu pergi ke perlawanan terakhir dengan sesuatu yang lebih realistik untuk dimainkan.

“Dan kini kami mempunyai peluang lebih realistik ketika menentang Jerman dan ia sangat menggembirakan saya.”

Anak-anak buah O’Neill memberi tindak balas sempurna terhadap kekalahan 1-0 kepada Poland dalam aksi pembukaan Ahad lalu.

Michael O’Neill (kiri) bersama pembantunya Austin MacPhee semasa sesi latihan bersama pasukannya di Grand Stade in Decines-Charpieu, dekat Lyon, kelmarin. – AFP
Michael O’Neill (kiri) bersama pembantunya Austin MacPhee semasa sesi latihan bersama pasukannya di Grand Stade in Decines-Charpieu, dekat Lyon, kelmarin. – AFP

“Moral pemain di tahap yang rendah, lebih lama daripada apa yang saya fikirkan selepas perlawanan dengan Poland, tetapi mereka memastikan diri berada dalam keadaan terbaik untuk hari ini,” tambah pengendali berusia 46 tahun itu.

“Saya memberitahu mereka di bilik persalinan (selepas tamat perlawanan) bahawa ia adalah detik paling membanggakan sepanjang karier saya.”

O’Neill mengambil risiko dengan menukar formasi, dan merombak separuh daripada barisan pemain yang tewas kepada Poland, untuk mengimbangi ancaman tonggak sayap Ukraine, Andriy Yarmolenko dan Yevhen Konoplyanka.

Antaranya keputusan paling berisiko dibuatnya adalah tidak membawa masuk penjaring terbanyak Kyle Lafferty yang mencetak tujuh gol di sepanjang kempen kelayakan dengan tempatnya diisi penyerang QPR, Conor Washington.

ARTIKEL YANG SAMA