OPEC kejutkan pasaran, keluaran minyak dikurang

OPEC kejutkan pasaran, keluaran minyak dikurang

SINGAPURA, 29 Sept – OPEC mengejutkan pasaran dengan satu perjanjian untuk mengurangkan pengeluaran minyak selepas Arab Saudi membenarkan pesaing Iran dikecualikan, namun penganalisis mengingatkan hari ini tindakan tersebut tidak mungkin mempunyai kesan berpanjangan.

Pengumuman kartel mengenai pengurangan pertama dalam lapan tahun menyebabkan harga minyak mentah naik kepada enam peratus semalam, sementara firma tenaga di AS dan Asia menyusuli dengan pemerolehan besar.

Pada akhir rundingan enam jam dan tawar-menawar selama beberapa minggu, OPEC mengumumkan rancangan untuk mengurangkan pengeluaran kepada 32.5 -33 juta tong sehari daripada 33.47 juta pada Ogos, kata Agensi Tenaga Antarabangsa.

Perjanjian itu, di Algiers ketika satu mesyuarat tidak formal dengan Rusia, dicapai selepas pengeluar terbesar kumpulan Arab Saudi bersetuju Iran, yang sedang menambah pengeluaran selepas sekatan ekonomi Barat bertahun-tahun lamanya, akan dikecualikan daripada pemotongan.

Satu usaha pimpinan Saudi untuk membeku pengeluaran menemui kegagalan pada April selepas Iran enggan mengambil bahagian dalam pengurangan. “Arab Saudi yang memberikan isyarat terlebih dahulu, membenarkan Iran, pesaing utamanya, untuk menambah pengeluaran,” kata Jeffrey Halley, penganalisis senior pasaran di OANDA. “Kami tidak harus memandang rendah peralihan utama yang dilakukan oleh Arab Saudi,” beritahunya kepada AFP.

Reaksi Menteri Tenaga Algeria, Noureddine Boutarfa (tengah), semasa dia meninggalkan Pusat Persidangan Antarabangsa di Algiers, Algeria, bersama Menteri Tenaga dan Industri Qatar, Bin Saleh Al-Sada (kiri), dan Pemangku Setiausaha Agung OPEC, Mohammed Barkindo, selepas mesyuarat OPEC di Algiers, Algeria. – AP
Reaksi Menteri Tenaga Algeria, Noureddine Boutarfa (tengah), semasa dia meninggalkan Pusat Persidangan Antarabangsa di Algiers, Algeria, bersama Menteri Tenaga dan Industri Qatar, Bin Saleh Al-Sada (kiri), dan Pemangku Setiausaha Agung OPEC, Mohammed Barkindo, selepas mesyuarat OPEC di Algiers, Algeria. – AP

Arab Saudi dan Iran, kuasa Syiah dan Sunni penting di Timur Tengah, tidak bersepakat dalam pelbagai isu termasuk perang di Syria dan Yaman. Namun penganalisis berkata tekanan ekonomi akibat kemerosotan pendapatan minyak mendesak anggota OPEC untuk mencapai satu perjanjian, sementara yang lainnya mengingatkan OPEC mempunyai rekod yang lemah untuk memenuhi komitmen sedemikian, dan peniaga tidak pasti sama ada kerjasama Saudi-Iran akan bertahan.

Butir-butir, termasuk negara yang mana satu yang membuat pemotongan, akan dikemukakan apabila 14 anggota OPEC – yang menghasilkan kira-kira 40 peratus daripada minyak mentah dunia – mengadakan mesyuarat dua kali setahun di Vienna pada 30 November.

Keengganannya untuk mengadakan pemotongan sebelum ini telah menyumbang kepada kemelesetan dalam harga daripada lebih AS$100 satu tong pada Jun 2014 kepada tahap rendah 13-tahun di bawah AS$30 pada awal 2016. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA