Operasi Bersepadu cegah jenayah di Sungai Brunei

Operasi Bersepadu cegah jenayah di Sungai Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai Sebagai langkah pro aktif pencegahan kejadian jenayah atau kegiatan berunsur jenayah yang berlaku di perairan khususnya kawasan Sungai Brunei, beberapa agensi penguatkuasaan telah melaksanakan Operasi Bersepadu yang tertumpu di perairan Sungai Brunei dan kawasan-kawasan berhampiran, kelmarin.

Operasi yang melibatkan Polis Marin, Polis Simpanan C Kompeni, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei, Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Laut dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan itu telah menunjukkan hasil yang positif di mana beberapa kesalahan yang melanggar undang-undang telah dapat dikesan dan diambil tindakan.

Antara kesalahan yang di-dapati seperti di bawah Akta Kastam iaitu menyeludup barang tegahan, di bawah undang-undang dan peraturan Jabatan Laut yang berkaitan dengan perlesenan dan pendaftaran, dan Akta Imigresen kerana keluar dan masuk ke Negara Brunei Darussalam tanpa melaporkan diri di kawalan pos imigresen, menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei, hari ini.

Operasi yang mengambil masa kira-kira tiga jam ini juga bertujuan untuk mengesan kesalahan-kesalahan yang berhubung kait dengan perlesenan, pendaftaran dan penggunaan perahu khususnya penggunaan perahu-perahu tambang yang membuat operasi harian.

Pemeriksaan yang dijalankan terhadap salah sebuah bot laju Temburong.
Pemeriksaan yang dijalankan terhadap salah sebuah bot laju Temburong.

Sehubungan itu, pihak Polis Marin dalam kenyataan berkenaan, menasihatkan orang awam terutama pengusaha perahu tambang dan orang per-sendirian yang menjalankan perkhidmatan pengangkutan air serta pengguna-pengguna lain supaya akan sentiasa mematu-hi apa jua undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Di samping itu juga dinasihatkan akan lebih menumpukan kewaspadaan ketika mengemudi terutama pada waktu malam dan dalam keadaan cuaca kurang baik, manakala itu, jika cuaca tidak mengizinkan dinasihatkan supaya jangan sekali-kali untuk melakukan perjalanan atau keluar ke laut.

Orang ramai juga diseru supaya akan sentiasa memberi kerjasama dengan pihak agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini untuk menyalurkan apa jua kegiatan jenayah dalam sama-sama menjaga keselamatan khususnya yang berlaku di perairan Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA