Operasi Bersepadu Cekup JIPK kesan 13 kesalahan

Operasi Bersepadu Cekup JIPK kesan 13 kesalahan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Dis – Lapan warga asing termasuk seorang perempuan telah ditahan sementara di Bahagian Penguatkuasa Undang-undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen yang mengandungi pas imigresen yang masih sah semasa Operasi Bersepadu Cekup JIPK 93/2015 tengah malam tadi.

Dalam operasi itu, Bahagian Pencegah Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) turut mencatatkan dua kes lelaki warganegara asing yang didapati menyimpan rokok dan minuman keras di dua buah bilik sewa yang berasingan di Mukim Kianggeh dan Mukim Kota Batu, yang mana kedua-dua mereka diarahkan hadir ke Bahagian Pencegah JKED untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Buruh pula mendapati tiga wanita warga asing yang memegang jawatan amah dan seorang lelaki berjawatan pemandu, tinggal berasingan dengan majikan.

Jika terbukti mereka melakukan kesalahan, pihak jabatan akan bertindak untuk memotong jumlah kuota atau membatalkan lesen amah dan mengarahkan majikan membuat penghantaran balik ke negara asal (perkara ini akan disiasat dengan lebih lanjut).

Menurut kenyataan JIPK, hari ini, operasi yang bermula dari jam 10:30 malam hingga 3:15 pagi itu melibatkan 92 orang pegawai dari tujuh buah agensi iaitu Bahagian Penguatkuasaan JIPK, Bahagian Pencegah JKED, Bahagian Penguatkuasaan Agama, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Buruh, Pasukan Polis Diraja Brunei (Bandar Seri Begawan, Unit Siasatan dan Jenayah Perdagangan Manusia dan CID), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Biro Kawalan Narkotik.

Operasi melibatkan tiga sasaran (rumah, bilik-bilik sewa dan tempat tinggal pekerja yang didiami oleh pekerja-pekerja asing) di kawasan yang berasingan di Mukim Kianggeh dan Mukim Kota Batu.

Ia antara lain bertujuan bagi menyatupadukan agensi penguatkuasaan di negara ini dengan mengongsi maklumat dan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan masing-masing bagi melaksanakan operasi bersama.

Selain itu, bagi membuat pemeriksaan ke atas rumah dan bilik sewa yang didiami oleh warganegara asing dan memastikan mereka tinggal di negara ini dengan memiliki pas imigresen yang masih sah.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan di negara ini, JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah imigresen dengan menghubungi talian hotline 8734888 dan 8753888.

Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA