Operasi buka tirai 2016

Operasi buka tirai 2016

Oleh Anwar Rosly

Gambar Pasukan Polis Diraja Brunei

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Pasukan Polis Diraja Brunei telah membuka tirai Tahun Baru 2016 dengan mengadakan operasi-operasi yang bermula tengah malam tadi hingga awal pagi tadi.

Di Daerah Brunei dan Muara, satu kesalahan doket, 12 kompaun dan 28 peringatan polis telah dikeluarkan di samping itu 95 buah kenderaan juga telah ditahan dan diperiksa dalam operasi sepadu yang melibatkan enam buah balai di bawah Daerah Polis Brunei dan Muara, menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Operasi telah diketuai oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei dan Muara, Supt. Husaini bin Haji Matzin dan dipimpin oleh Pemangku Pegawai Menguasa Balai Polis Berakas, P/ASP Pengiran Haji Mohd Saiful Ariff dengan dibantu oleh seramai 155 orang pegawai serta anggota polis.

Operasi melibatkan sekatan jalan raya di enam lokasi dan rondaan berkereta juga di enam kawasan termasuk kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba, Kampung Lambak Kanan, Kampung Jangsak, Kampung Tanjung Bunut, Kampung Kapok dan Kampung Lumapas serta kawasan-kawasan komersial termasuk Gadong, Kiulap, dan Kiarong.

Menurut kenyataan itu lagi, rondaan juga mendapati sebuah kereta yang ditinggalkan di kawasan perumahan yang dipercayai telah dicuri.

Sekatan jalan raya yang dijalankan di kawasan Komersial Mukim Sengkurong.
Sekatan jalan raya yang dijalankan di kawasan Komersial Mukim Sengkurong.
Antara yang menyertai operasi di kawasan Daerah Brunei dan Muara.
Antara yang menyertai operasi di kawasan Daerah Brunei dan Muara.
Anggota polis membuat pemeriksaan semasa sekatan jalan raya di Mukim Gadong.
Anggota polis membuat pemeriksaan semasa sekatan jalan raya di Mukim Gadong.

Sehubungan dengan itu, orang awam dinasihatkan agar lebih peka tentang keselamatan kereta masing-masing dengan memastikan kereta dikunci rapi, seperti memasang alat penggera dan menggunakan ‘steering lock’.

Di samping itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak meninggalkan barang berharga di dalam kereta agar tidak berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Di samping operasi sepadu berkenaan, dua orang anggota Balai Polis Berakas dari Unit Kemasyarakatan Polis, turut membuat rondaan berjalan kaki bersama empat orang ahli Pengawasan Kejiranan Pancha Delima/Anggerek Desa di kawasan Teguh Raya, Kompleks Melabau dan Anggerek Desa bagi sama-sama menjalankan pencegahan jenayah di kampung itu.

Rondaan yang bermula jam 11:30 malam hingga 1:30 pagi tadi itu tidak mendapati sebarang aktiviti yang mencurigakan.

Sementara itu, di Daerah Belait, sebanyak 14 kes kesalahan lalu lintas telah dicatat dan diambil tindakan lanjut dalam operasi sekatan jalan raya yang dijalankan di beberapa kawasan daerah berkenaan.

Antara kesalahan yang dikesan dalam operasi yang bermula jam 11 malam itu termasuk tiga kes hon kenderaan tidak berfungsi, empat kes lampu plat lesen belakang kenderaan tidak menyala pada waktu malam, dua kes plat lesen tidak mengikut peraturan, satu kes tayar keluar madgad, tiga kes lampu hadapan kenderaan tidak menyala pada waktu malam dan satu kes silencer kenderaan berbunyi bising dicatat dan direkodkan untuk tindakan selanjutnya.

Antara yang menyertai semasa operasi yang dijalankan di kawasan Daerah Belait.
Antara yang menyertai semasa operasi yang dijalankan di kawasan Daerah Belait.

Sekatan-sekatan jalan raya tertumpu di kawasan Jalan Tunggulian, Sungai Liang, yang melibatkan anggota dari Balai Polis Sungai Liang, kawasan Jalan Singa Menteri, Kuala Belait melibatkan anggota dari Balai Polis Kuala Belait, manakala itu, anggota dari Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, cawangan Kuala Belait membuat sekatan jalan raya di kawasan F3/F4, Jalan Tengah, Seria.

Dalam masa yang sama juga, satu operasi Rondaan Pencegahan Jenayah telah dilakukan secara serentak dengan menggunakan kenderaan di sekitar kawasan Sungai Liang yang diketuai oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Supt. Ariffin bin Haji Jafaruddin bersama Penghulu Mukim Liang, Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin.

Rondaan berjalan kaki dibuat di kawasan Jalan Sumboi-Sumboi Perumahan RPN Lumut oleh sembilan orang anggota Balai Polis Sungai Liang bersama 10 orang ahli Pengawasan Kejiranan Mukim Liang yang diketuai oleh Inspektor Mohd Sofian bin Haji Kifli bersama Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad selaku Ketua Kampung Lumut 1.

Manakala itu, sembilan orang anggota Balai Polis Kuala Belait bersama lapan orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Mumong menjalankan rondaan di sekitar kawasan Kampung Mumong dengan diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Kuala Belait, ASP Wan Firdaus bin Haji Mohd Aminuddin bersama Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin selaku Ketua Kampung Mumong.

Rondaan pencegahan di kawasan Kampung RPN Panaga pula melibatkan seramai 15 orang ahli Pengawasan Kejiranan RPN Kampung Panaga bersama Sgt 2694, Awang Zamri bin Haji Buang.

Operasi yang melibatkan seramai lapan orang pegawai dan 56 orang anggota Daerah Polis Belait termasuk anggota dari CID Panaga, Polis Keselamatan Padang Minyak LNG, Skuad Tindakan Segera dan Unit Perhubungan Awam Polis itu berakhir pada jam 3:30 pagi tadi.

Dalam pada itu, menurut kenyataan berasingan, Balai Polis Limau Manis yang melibatkan 18 orang anggota turut menjalankan operasi bersepadu dengan agensi penguatkuasaan Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah di pos kawalan berkenaan.

Sebanyak 18 kes henti dan periksa, tiga peringatan 190 dan dua kes kompaun telah dicatatkan dalam operasi berkenaan.

Selain daripada itu, tiga kes cubaan membawa masuk barang tegahan turut dilaporkan yang termasuk cubaan membawa masuk dua paket sayap ayam seberat 2kg oleh warga tempatan, cubaan membawa masuk sayur-sayuran yang telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, serta cubaan membawa masuk dua botol minuman keras oleh warga tempatan beragama Islam dan telah ditahan.

ARTIKEL YANG SAMA