Operasi cari mangsa masuk hari kelima

Operasi cari mangsa masuk hari kelima

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 23 Feb – Operasi mencari seorang lelaki yang hilang dan dipercayai lemas di kawasan pembetungan saluran najis Kampung Mumong sudah memasuki hari kelima dan masih lagi diteruskan sehingga hari ini.

Mangsa, Awang Afendi bin Momin, 23, dilaporkan hilang pada 18 Februari lalu, kira-kira jam 6:30 petang semasa mangsa bersama ayahnya menjala di kawasan tersebut.

Dalam laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), operasi mencari diteruskan hari ini dari jam 7:30 pagi hingga 6 petang namun tiada tanda-tanda mangsa dapat dikesan.

Mangsa yang merupakan ayah kepada dua anak lelaki masing-masing berusia antara dua dan tiga tahun, dan pekerja luar pantai salah sebuah syarikat tempatan, sebelum kejadian, dikatakan telah menyelami jalanya yang tersangkut pada batu, dan ayahnya yang sempat mendengar jeritan anaknya itu bergegas ke tempat anaknya namun hanya sempat melihat buih dan kocakan air.

Operasi mencari mangsa hilang masih diteruskan dan semalam sudah masuk hari kelima.
Operasi mencari mangsa hilang masih diteruskan dan semalam sudah masuk hari kelima.

Menurut JBP lagi, lokasi pencarian telah diperluaskan dari hujung batu Sungai Belait menyusuri sungai sehingga ke kawasan pembetungan saluran najis di mana lokasi mangsa dipercayai jatuh dalam jarak lebih kurang tujuh kilometer.

Antara agensi yang terlibat dalam operasi itu adalah JBP, cawangan Operasi B, Perahu Bomba JBP/4 diketuai oleh Pemangku Timbalan Pemerintah, Penolong Penguasa Bomba Wan Julaini bin Wan Ibrahim, berserta enam anggota Unit Penyelam JBP diketuai oleh ASO Sufri bin Haji Ali, manakala ASFR Zulkeflee Awang Alimas mengetuai Base Camp.

Ia juga melibatkan dua anggota Polis Diraja Brunei diketuai oleh Sarjan Zulkeflee bin Haji Moktal dan dua anggota lagi dari Unit Polis Marin.