Operasi cari tiga nelayan Malaysia hilang dihentikan

Operasi cari tiga nelayan Malaysia hilang dihentikan

KUCHING, 20 Sept (Bernama) – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga nelayan tempatan yang hilang selepas bot mereka tenggelam setelah berlanggar dengan sebuah bot peronda Indonesia di perairan Indonesia pada 11 Sept, telah dihentikan.

Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak, Lt Madya Maritim Muhd Hainizam Mohd Jamil berkata bot nelayan berkenaan SFI-4655 yang telah tenggelam dalam kejadian kira-kira 6.45 petang itu telah dijumpai.

“Pasukan penyelam kami telah memeriksanya tetapi mendapati nelayan yang hilang tiada di dalamnya,” katanya semasa dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihak berkuasa Indonesia sebelum ini telah membenarkan pasukan SAR melakukan operasi mencari di perairan Indonesia. Nelayan yang hilang dikenal pasti sebagai tekong Ahmad Tarmisi Kipli, 35, Awang Ezam Abdullah Awang Mohammad, 25, dan Jamil Saberan, 45.

Empat lagi awak-awak bot itu telah diselamatkan oleh bot peronda Indonesia dan masih ditahan di Pontianak.

Mereka ialah Adam Drahman, 28, Mohamad Azlan Bujang, 22, Abu Talip Lang, 43 dan Mohammad Subhi Jamil, 25.

Dalam sidang media pada Selasa lepas, Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit, berkata tujuh nelayan dari Beladin, Bahagian Betong telah tersesat di perairan Indonesia, kira-kira 9 batu nautika dari Tanjung Datu di perairan Malaysia. Katanya mereka kemudiannya telah dikesan dan dikejar bot peronda Indonesia dan bot peronda itu didakwa telah merempuh bot nelayan itu menyebabkannya karam.

Beliau berkata walaupun insiden itu berlaku pada 11 Sept, Konsulat Indonesia hanya memaklumkan APMM dua hari kemudian.

Katanya APMM telah mengerahkan empat buah kapal berserta 24 kakitangan untuk misi mencari dan menyelamat nelayan berkenaan di kawasan 400 persegi dalam kawasan perairan negara.

Menurutnya pada masa sama pasukan Indonesia turut menjalankan misi pencarian di perairan mereka.