Operasi cegah jenayah dipergiatkan

Operasi cegah jenayah dipergiatkan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 25 Ogos – Operasi Rondaan Pencegahan Jenayah gabungan antara anggota polis bersama ahli pengawasan kejiranan, telah diadakan secara berasingan di tiga tempat malam tadi.

Operasi tersebut menyasarkan pemeriksaan di persekitaran RPN Kampung Panaga, RPN Kampung Pandan A, dan RPN Kampung Pandan B di sini.

Enam orang anggota Balai Polis Seria bersama 16 orang ahli Pengawasan Kejiranan RPN Kampung Panaga telah membuat rondaan berjalan kaki dan menggunakan kenderaan di sekitar kawasan Perumahan Kampung Panaga dengan diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Seria, ASP Mohd Zulhelmi Azmi bin Dato Paduka Haji Abd Aziz.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Penguasa Balai Polis Seria, P/ASP Haji Mohd Helmi bin Haji Abdullah, dan dari Bahagian Perhubungan Pengawasan Kejiranan Balai Polis Seria, serta Timbalan Pengerusi Pengawasan Kejiranan Kampung Panaga, Awang Zaleha bin Lahap.

Dalam rondaan tersebut telah memantau dan memeriksa rumah-rumah kosong yang sudah lama ditinggalkan oleh pemiliknya.

Sementara itu, dalam operasi rondaan lainnya seramai sembilan orang anggota Balai Polis Kuala Belait bersama sembilan orang ahli Pengawasan Kejiranan RPN Kampung Pandan A serta lima lagi ahli Pengawasan Kejiranan RPN Kampung Pandan B telah membahagikan rondaan kepada dua zon iaitu secara berjalan kaki di sekitar kawasan Kampung Pandan A dan sebahagiannya lagi di sekitar kawasan RPN Kampung Pandan B.

Operasi di kawasan tersebut telah diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Kuala Belait, ASP Wan Firdaus bin Haji Mohd Aminuddin, dan disertai sama oleh Ketua Kampung Pandan A, Awang Sulaiman bin Udin, Ketua Kampung Pandan B, Haji Abd Malik bin Haji Abu Bakar, serta pegawai dari bahagian perhubungan Pengawasan Kejiranan Balai Polis Kuala Belait, Sarjan Jailani bin Haji Johari dan Kopral Mohd Jin bin Raosta.

Di sepanjang rondaan bagaimanapun tiada menemukan sebarang aktiviti jenayah.