Operasi cegah kegiatan jenayah

Operasi cegah kegiatan jenayah

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Balai Polis Pusat, Bandar Seri Begawan meneruskan lagi Operasi Rondaan Pencegahan Jenayah bersama Pengawasan Kejiranan Kampung Tasek Meradun dan Kampung Bunut yang menumpukan di kawasan kampung tersebut semalam.

Operasi diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Pusat, Penolong Penguasa Polis Percubaan, Awang Mohd Izzuddin Hanis bin Haji Mohd Salleh dan Penolong Pegawai Penguasa Balai Polis Pusat, Insp Faizal Isawandy bin Ali Othman bersama 22 anggota polis lainnya.

Turut serta semasa rondaan tersebut ialah Ketua Kampung Tasek Meradun/Kampung Bunut, Pengiran Haji Othman bin Pengiran Haji Sulaiman bersama ahli pengawasan kejiranan seramai enam orang.

Polis menurut kenyataannya tidak menemui sebarang kegiatan jenayah semasa operasi yang berakhir pada tengah malam itu.

Rondaan operasi di sebuah kedai antara Kampung Tasek Meradun dan Kampung Bunut.
Rondaan operasi di sebuah kedai antara Kampung Tasek Meradun dan Kampung Bunut.
Ahli-ahli PK semasa membuat rondaan berjalan kaki di persekitaran Kampung Labu Estate.
Ahli-ahli PK semasa membuat rondaan berjalan kaki di persekitaran Kampung Labu Estate.

Sementara itu, Daerah Polis Temburong melalui Unit Pengawasan Kejiranan, Balai Polis Bangar juga mengadakan operasi seumpamanya yang menumpukan di sekitar kawasan Mukim Labu termasuk Kampung Labu Estate, Kawasan Taman Rekreasi Bukit Patoi, Kampung Senukoh dan Kampung Piasau-Piasau.

Operasi yang melibatkan empat orang ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Kampung Labu Estate itu diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Bangar, Penolong Penguasa Polis, Pengiran Anak Haji Azanuddin Aman Shah bin Pengiran Anak Ismail Al-Haj dan disertai oleh Ketua Kampung Labu Estate, Haji Sulaiman bin Haji Nasir yang juga selaku Pengerusi PK Kampung Labu Estate bersama ahli-ahli PK kampung berkenaan.

Operasi rondaan berjalan kaki dan berkenderaan itu bagaimanapun menurut kenyataan polis tidak menemui sebarang kegiatan jenayah yang mencurigakan sepanjang rondaan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA