Operasi cegah lumba haram

Operasi cegah lumba haram

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Dalam memastikan keselamatan awam terutama pengguna jalan raya, Pasukan Polis Diraja Brunei, semalam, telah membuat satu operasi pencegahan lumba haram yang diadakan di kawasan Jalan Utama Tanah Jambu, Lebuh raya Rimba Link menghala ke Tungku dan di sepanjang Lebuh raya Baru Katok B.

Dalam operasi yang dijalankan oleh Daerah Polis Brunei dan Muara dan Balai Polis Berakas itu mendapati tiga buah kereta tidak mempunyai cukai jalan yang sah dan seorang pemandu dipercayai memandu dalam keadaan mabuk, manakala tiga lagi kenderaan didapati membuat pengubahsuaian tanpa kebenaran.

Sementara itu, pada hari sebelumnya, operasi serupa telah dijalankan di kawasan Jalan Utama Tanah Jambu dan di kawasan Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Menurut kenyataan di sini, hasil daripada operasi tersebut, dua buah kenderaan telah diambil tindakan kerana tidak mempunyai cukai jalan yang sah dan seorang pemandu tidak mempunyai lesen memandu yang sah, manakala tiga buah lagi kenderaan diambil tindakan kerana dipercayai membuat pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran.

Salah sebuah kereta yang ditahan kerana didapati membuat pengubahsuaian tanpa kebenaran.
Salah sebuah kereta yang ditahan kerana didapati membuat pengubahsuaian tanpa kebenaran.

Operasi pencegahan lumba haram seperti ini akan lebih giat dijalankan untuk memastikan jalan raya selamat daripada sebarang penyalahgunaan yang membuatkan pengguna jalan raya yang lain dan juga orang awam yang tinggal berdekatan lokasi perlumbaan merasa terkesan dan tidak tenteram.

Dalam pada itu, Pasukan Polis Diraja Brunei menasihatkan pemilik-pemilik kenderaan agar dapat memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan tidak melakukan sebarang pengubahsuaian yang tidak diluluskan oleh pihak berkuasa.

Dalam memastikan keselamatan jalan raya dan ketenteraman penduduk di kawasan-kawasan terlibat, pihak polis juga memberi amaran kepada mereka yang terlibat dalam perlumbaan haram untuk menghentikan aktiviti tersebut dengan serta-merta dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas undang-undang kepada sesiapa juga yang gagal mematuhi amaran ini.

ARTIKEL YANG SAMA