Operasi dekat sempadan

Operasi dekat sempadan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Pasukan Polis Diraja Brunei, baru-baru ini, telah menjalankan operasi sepadu, dengan melibatkan anggota daripada Pasukan Simpanan Kompeni ‘C’, Balai Polis Limau Manis, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Jabatan Perisikan Jenayah dan anggota detektif, di kawasan Jalan Kampung Bebuloh.

Operasi berkenaan bermula pukul 8 malam dan dijalankan selama tiga jam yang mana anggota Pasukan Simpanan Kompeni ‘C’ membuat rondaan di sepanjang sempadan Brunei dan Malaysia manakala ahli-ahli Balai Polis Limau Manis dan JSKLL membuat sekatan jalan raya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, dalam operasi itu, salah sebuah kenderaan yang diperiksa telah didapati membawa empat tin minuman keras yang disimpan di bawah kerusi penumpang dan seorang penumpang warganegara Vietnam turut ditahan atas kesalahan visa/pas melawat mansuh dan tinggal lebih masa di Brunei.

Siasatan yang dijalankan ke atas pemandu dan penumpang tersebut mendapati bahawa mereka telah pergi ke hujung jalan Kampung Bebuloh dan berjalan kaki ke sempadan tanpa melalui Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah untuk membeli dan minum minuman keras.

Sehubungan dengan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei, dalam kenyataannya, mengingatkan kepada orang ramai bahawa keluar masuk melalui sempadan tanpa kebenaran atau melalui Pos Imigresen merupakan satu kesalahan Akta Imigresen dan membawa barang-barang tegahan juga satu kesalahan di bawah Akta Kastam.

Sebarang aktiviti yang mencurigakan di kawasan sempadan hendaklah dilaporkan kepada pihak polis melalui talian kecemasan 993 atau balai-balai polis yang berdekatan.

ARTIKEL YANG SAMA