Operasi imigresen hingga 12 malam

Operasi imigresen hingga 12 malam

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 31 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak masih menunggu sebarang keputusan kerajaan untuk memanjangkan operasi di Pos Imigresen Merapok-Sindumin Sabah yang masih beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

Pengarah JIM Sarawak Dato Mohd Zulfikar Ahmad berkata hanya pintu masuk di sempadan Merapok Lawas dan Sindumin Sabah masih beroperasi sehingga 10 malam, manakala empat pintu masuk sempadan Sarawak dan Brunei dilanjutkan dari 6 pagi hingga 12 tengah malam berkuat kuasa 1 September.

Beliau menjelaskan waktu permulaan operasi di empat pintu masuk yang terlibat iaitu Sungai Tujuh (Miri), Tedungan (Limbang), Pandaruan (Limbang) dan Mengkalap (Lawas) adalah tetap seperti biasa, iaitu mulai 6 pagi hingga 12 tengah malam.

“Keputusan itu hasil perbincangan dan persetujuan bersama antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam pertemuan di Brunei baru-baru ini,”katanya pada satu sidang media di sini semalam.

Mohd Zulfikar.
Mohd Zulfikar.

Turut sama ialah Ketua Pejabat Imigresen Bahagian Limbang Mohamad Osman Mohd Zulfikar berkata lagi selain Sarawak, Brunei juga akan melaksana waktu operasi sama.

“Langkah melanjutkan operasi pintu-pintu masuk di sempadan Sarawak-Brunei akan memudahkan lagi pergerakan rakyat di kedua-dua negara selain memacu ekonomi penduduk setempat,”katanya sambil menambah kemudahan itu akan meningkatkan hubungan dan kerjasama di kedua-dua negara.

Pada 11 Ogos, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa operasi di pintu masuk di sempadan Malaysia dan Brunei yang dibuka dari 6 pagi hingga 10 malam akan dilanjutkan sehingga 12 malam.