Operasi kawal kebakaran di Belait berakhir

Operasi kawal kebakaran di Belait berakhir

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 1 Mei – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Belait (Belait DDMC), hari ini, mengumumkan bahawa Pusat Operasi Kecemasan Daerah (DEOC) dan Pusat Kawalan Insiden (ICP) secara rasminya telah berakhir dan segala operasi kawasan hutan tanah gambut yang terdedah kepada bahaya kebakaran diisytiharkan selamat dan terkawal.

DDMC, dalam kenyataannya, merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pelbagai agensi yang terlibat iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Jabatan Meteorologi, Perkhidmatan Perhutanan, Jabatan Ukur, Jabatan Sekolah-Sekolah (Cawangan Belait), Radio Televisyen Brunei (RTB), Jabatan Agama Belait, Jabatan Penerangan, Syarikat Brunei Shell Petroleum (BSP), Pasukan Pengurusan Insiden BSP dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) atas komitmen mereka, ketabahan dan pasukan kerja dalam mengawal keadaan kebakaran semasa operasi bersepadu itu

DDMC Belait juga mengucapkan terima kasih kepada orang awam dan pengguna jalan raya terutama dari Lebuh Raya Mumong ByPass atas kesabaran dan kerjasama mereka dalam kesulitan ini.

Kebakaran di kawasan tanah gambut juga telah berakhir disebabkan hujan yang baru melanda di Daerah Belait, baru-baru ini, dan menurut kenyataan itu lagi, kawasan-kawasan yang sering dilanda api akan terus dipantau oleh Operasi Bomba dan Penyelamat bagi Cawangan Belait ‘B’.

Pos Kawalan Insiden (ICP) DDMC Belait yang ditubuhkan bagi menangani kejadian kebakaran hutan yang berlaku dalam bulan Mac dan April lalu.
Pos Kawalan Insiden (ICP) DDMC Belait yang ditubuhkan bagi menangani kejadian kebakaran hutan yang berlaku dalam bulan Mac dan April lalu.

ARTIKEL YANG SAMA