Operasi kawalan Esszone dipertingkat

Operasi kawalan Esszone dipertingkat

SANDAKAN, 9 Sept – Kapal Maritim (KM) Satria dan KM Bijak ditugaskan untuk beroperasi di perairan pantai timur negeri ini untuk membantu meningkatkan kawalan di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone).

Pegawai Pemerintah KM Satria Left Komander Maritim Eizanizam Muhammad Eng berkata KM Satria baharu diterima daripada kerajaan Australia pada April lepas yang dilengkapi dengan radar dan peralatan canggih.

“Keanggotaan seramai empat pegawai dan 13 anak kapal yang berpengalaman dalam perairan Borneo diharap dapat membantu mengekang aktiviti salah laku di kawasan laut,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demi membantu meningkatkan kawalan Esszone, pihaknya datang membantu walaupun dalam masa sama terlibat dengan operasi khas di Kuching, Sarawak.

KM Bijak diketuai oleh Left Komander Maritim  Nicholas Jugah dengan keanggotaan seramai enam pegawai dan 18 anak kapal yang turut membantu dalam operasi ini.

Ketua Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Sandakan Kapt Maritim A Razak Abd Rahman pula berkata kedua-dua kapal itu telah beroperasi di kawasan perairan Sandakan hingga di kawasan Pulau Lankayan dan Jambongan.

Katanya setelah selesai operasi di Sandakan, kedua-dua kapal akan bergerak ke Tawau dalam membantu operasi di daerah itu.

Razak berkata kawalan ini penting bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku seperti pencerobohan dan penculikan yang berlaku di Restoran Ocean King, di sini pada Mei lepas. – Bernama