Operasi Loji BLNG terjejas

Operasi Loji BLNG terjejas

Oleh Danial Norjidi

 

KUALA BELAIT, 29 Nov – Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri memaklumkan orang ramai bahawa kira-kira pukul 4:30 petang tadi, Brunei LNG (BLNG) telah mengalami gangguan operasi sepenuhnya di loji mereka di Lumut yang menyebabkan api besar, asap hitam dan bunyi bising.

Gangguan berkenan juga telah menjejaskan bekalan tenaga elektrik ke sebahagian Daerah Belait.

Bagaimanapun tiada kecederaan kepada kakitangan dan rakan-rakan perniagaan dilaporkan berikutan daripada kejadian berkenaan, menurut kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Tenaga dan Perindustrian.

Menurut kenyataan itu lagi, keutamaan adalah untuk memastikan keselamatan kakitangan, rakan-rakan perniagaan dan masyarakat sekitar serta untuk meminimumkan impak kejadian berkenaan.

BLNG mungkin mengambil masa 12 jam (bermula 10 malam) untuk memulakan semula operasi dan menyambung bekalan tenaga ke kawasan yang terjejas.

Bekalan tenaga ke daerah-daerah lain tidak terjejas.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk bertenang dan menanti kemas kini lanjut mengenai kejadian berkenaan menerusi sumber-sumber rasmi, menurut kenyataan itu.

Bercakap kepada media, Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Jamain bin Haji Julaihi menjelaskan bahawa punca gangguan berkenaan adalah kerosakan elektrik, akibat kegagalan transformer.

Beliau memberi jaminan bahawa ia tidak akan mempunyai kerosakan jangka masa panjang dan kerja-kerja sedang dilaksanakan untuk memasang transformer ganti.

Menurutnya lagi, pihak berkuasa sedang berusaha untuk mengembalikan operasi BLNG supaya mereka boleh memulihkan bekalan tenaga.

Dalam pada itu, beliau juga menekankan, “Kami mempunyai skim di mana perniagaan-perniagaan yang terjejas boleh menuntut pampasan. Oleh sebab gangguan tenaga ini berlarutan lebih dari tiga jam, perniagaan-perniagaan yang terjejas boleh pergi ke pejabat-pejabat atau laman-laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Elektrik untuk memohon pampasan.”

Beliau seterusnya menambah, Brunei LNG kini sedang menyiasat punca sebenar kegagalan transformer berkenaan untuk menghalang kejadian ini berulang.

Jabatan Tenaga dan Perindustrian akan mengeluarkan kemas kini lanjut mengenai kejadian ini menerusi laman sesawangnya.

Bagi pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Ketua Korporat dan Pentadbiran, Hajah Zainab binti M.A. Omar di talian 8752232.

ARTIKEL YANG SAMA