Operasi mencari dihentikan

Operasi mencari dihentikan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 25 Feb – Operasi mencari Awang Afendi bin Momin, 23, yang dilaporkan hilang di kawasan pembetungan saluran najis, telah diberhentikan pada jam 1 petang tadi setelah operasi pencarian yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) selama lapan hari tidak berhasil dalam menemui sebarang kesan.

Dalam sidang media, Pemangku Timbalan Pegawai Pemerintah Cawangan B, Penolong Penguasa Bomba Wan Julaini bin Wan Ibrahim berkata, berdasarkan daripada saksi mata yang berada di tempat kejadian pada 18 Februari lalu yang telah tampil kepada JBP sehari selepasnya, mangsa berkemungkinan besar telah diserang oleh seekor buaya yang dikatakan kelihatan berada berdekatan di tempat kejadian tersebut.

“Saksi yang berada di tempat kejadian tersebut memberitahu bahawa beliau telah melihat kehadiran seekor buaya yang sudah ‘mengintai’ dari seberang kawasan itu ketika mangsa membuang rambat, dan apabila mangsa mula bergerak turun ke sungai, buaya itu sudah separuh badan memasuki sungai tersebut, kemudian apabila mangsa berada di dalam sungai buaya itu sudah tidak kelihatan di permukaan air dan dipercayai sudah berada di dalam air,” jelas Wan Julaini.

Kawasan di mana kebanyakan orang suka menjala dan memancing itu sudah dikenal pasti sebagai tempat yang berisiko tinggi terdapat bahan kimia dan juga binatang buas.

Justeru kawasan tersebut telah dilabelkan sebagai kawasan larangan dan hasil daripada lawatan Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Mohd Hasmiron bin Haji Mohd Taib yang diiringi pegawai dan kakitangan JBP tempoh hari, saranan akan dibuat bagi meletakkan papan-papan tanda larangan di kawasan yang dimaksudkan dan juga di tempat-tempat kawasan yang popular untuk menangkap ikan.

Wan Julaini ketika menjelaskan mengenai pemberhentian operasi mencari mangsa yang dipercayai lemas.
Wan Julaini ketika menjelaskan mengenai pemberhentian operasi mencari mangsa yang dipercayai lemas.

“Nasihat saya kepada mana-mana penangkap ikan dan pemancing adalah untuk menghindarkan dan juga menjauhkan diri dari tempat-tempat kawasan larangan tersebut supaya kejadian sebegini tidak akan berulang lagi demi keselamatan mereka sendiri,” tekan beliau.

Difahamkan bahawa kejadian yang berlaku di tempat sama adalah yang kedua setelah yang pertama berlaku beberapa tahun lalu, dan rondaan oleh pihak JBP sejak beberapa hari lalu telah melaporkan kelihatan beberapa ekor buaya berada di kawasan pembetungan saluran najis di sana.

Orang ramai juga dinasihatkan agar mengutamakan keselamatan persekitaran mereka memandangkan kejadian mangsa dan kemunculan buaya di Daerah Belait sering kali terjadi dalam kes-kes yang dilaporkan dalam berita seperti kes mangsa seorang budak berusia enam tahun yang disambar buaya di Kampung Sungai Teraban beberapa tahun yang lalu.

Manakala itu, seorang penduduk di Kampung Pandan B hampir-hampir menjadi mangsa buaya apabila disergah ketika bercucuk tanam di rumahnya yang berdekatan dengan saluran perparitan longkang di sana serta kes kenampakan seekor buaya yang berkeliaran di tempat letak kereta Taman Peranginan Anduki di Lumut baru-baru ini.

Tempat yang lain seperti di Lagun Taman Permainan Kampung Pandan C juga pernah kelihatan buaya oleh penduduk-penduduk di sana.

ARTIKEL YANG SAMA