Operasi mencari mangsa hilang diperluas

Operasi mencari mangsa hilang diperluas

KUCHING, 24 Dis (Bernama) – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa bot panjang karam di Long Buyun dekat Belaga Selasa lalu, diperluaskan sehingga ke Punan Bah kira-kira sejam perjalanan menaiki bot dari lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata operasi hari ini akan turut melibatkan pertambahan aset iaitu sebuah lagi bot bagi membantu gerakan SAR.

“Operasi SAR bermula 7 pagi tadi melibatkan 65 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi dan sukarelawan,” katanya ketika dihubungi.

Farhan berkata operasi SAR turut melibatkan Unit Udara Bomba menggunakan helikopter MI-17.

Dalam kejadian 7 malam kelmarin, sebuah bot panjang yang dinaiki sembilan orang, seorang lelaki dan lapan wanita dalam perjalanan dari pekan Belaga ke Rumah Tanjung di Long Pawah karam berhampiran Long Buyun.