Operasi pantau, pencegahan jenayah di Pos Kawalan Sg Tujoh

Operasi pantau, pencegahan jenayah di Pos Kawalan Sg Tujoh

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 15 Julai – Polis Daerah Belait kelmarin telah mengendalikan Operasi Pantau dan Pencegahan Jenayah serta Kesalahan Lalu Lintas di pintu masuk dan keluar Pos Kawalan Sungai Tujuh.

Dalam operasi berkenaan, para pemandu dan penumpang setiap kenderaan diperiksa selain memeriksa kesalahan lalu lintas oleh Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL).

Operasi tersebut diketuai oleh penolong pegawai siasatan jenayah Daerah Polis Belait, manakala sekatan jalan diketuai oleh Sarjan Awang Duraman bin Haji Iring dari JSKLL, Batu Tiga, Belait.

Semasa sekatan jalan raya, seorang pemandu telah dikenakan saman kerana memandu kenderaan dengan plat nombor pendaftaran tidak mengikut piawaian, di samping itu, beberapa orang pemandu diberikan amaran kerana menggunakan pelekat cermin gelap dan diarahkan menanggalkannya di tempat pemeriksaan.

Operasi berkenaan disertai lebih 40 orang yang terdiri daripada lima orang pegawai dan lapan orang anggota Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Ibu Pejabat Panaga, 11 orang anggota Balai Polis Kuala Belait, tiga anggota Balai Polis Seria, lima anggota dari Balai Polis Sungai Liang, empat anggota dari Jabatan Perisikan Jenayah Panaga, dan sembilan orang anggota dari JSKLL, Batu Tiga.

Operasi pemeriksaan secara sekatan jalanraya diadakan di kawasan pintu keluar masuk Pos Kawalan Sungai Tujuh.
Operasi pemeriksaan secara sekatan jalanraya diadakan di kawasan pintu keluar masuk Pos Kawalan Sungai Tujuh.

Bagaimanapun, tiada sebarang kesalahan jenayah ditemui sepanjang operasi yang berakhir kira-kira jam 1 petang tadi.

Sementara itu, enam orang anggota polis dari Balai Polis Seria bersama 13 orang ahli Pengawasan Kejiranan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ), Lorong Tiga, Seria telah menjalankan operasi pencegahan jenayah malam tadi.

Rondaan dilakukan secara berjalan kaki dan menggunakan kenderaan di sekitar perumahan STKRJ, Lorong Tiga, Seria dan Berek Kerajaan, Lorong Tiga.

Turut menyertai operasi ialah Penolong Pegawai Penguasa Balai Polis Seria, P/ASP Haji Mohd Helmi bin Haji Abdullah dan Ketua Kampung Lorong Tiga Seria, Haji Saidin bin Haji Ibrahim.

Sepanjang operasi berkenaan, tiada sebarang aktiviti berkaitan jenayah ditemui dan operasi yang bermula dari jam 10 malam itu berakhir pada jam 12 tengah malam.

ARTIKEL YANG SAMA