Operasi pelabuhan pemangkin perdagangan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

NANNING, China, 13 Sept – Pelabuhan memainkan peranan amat penting dalam aktiviti perdagangan di mana kira-kira 90 peratus daripada perdagangan global bekalan seperti bahan binaan, produk makanan dan bahan api hanya akan boleh dibekalkan melalui jalan laut.

Pelabuhan juga berperanan menyokong industri tempatan yang membolehkan ekonomi negara berkembang melalui aktiviti import dan eksport, demikian menurut Timbalan Menteri Kewangan, Dato Seri Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Beliau yang juga pengerusi Muara Port Company Sdn. Bhd. (MPC) berkata, dalam peningkatan daya saing industri maritim, operasi pelabuhan yang cekap ditentukan oleh kemajuan kemudahan bagi mengendalikan semua jenis kargo, kadar tarif yang berdaya saing, penggunaan teknologi maklumat yang komprehensif dan tenaga kerja yang berdedikasi.

“Ini akan memastikan bahawa pelanggan sentiasa dibekalkan dengan kualiti global dan perkhidmatan yang efisien,” katanya semasa berucap pada Persidangan China-ASEAN Port Cities Network Work diadakan di Hotel Nanning hari ini.

Persidangan China-ASEAN Port Cities Network Work yang berlangsung di Hotel Nanning hari ini.

Persidangan tersebut turut dihadiri Naib Gabenor Wilayah Otonomi Guangxi Zhuang, Republik Rakyat China, Zhang Xiaoqin; Pengerusi Majlis Perniagaan China-Singapura, Lee Yi Syan; Setiausaha Agung Pusat ASEAN-China, Yang Xiuping; Timbalan Pengarah Am Biro Pengangkutan Air, Yang Huaxiong dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, Malaysia, Kong Cho Ha.

Dalam ucapannya, Dato Seri Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew turut menerangkan mengenai MPC yang merupakan usaha sama antara kerajaan Brunei melalui Darussalam Asset dan Beibu Gulf bermula pada 21 Februari 2017.

MPC merupakan pengendali baru bagi Muara Container Terminal (MCT), selaras dengan objektif kerajaan Brunei untuk mempertingkatkan kecekapan keseluruhan operasi Pelabuhan Muara dan untuk kedudukan Ease of Doing Business Brunei.

Beliau juga berharap persidangan rangkaian hari ini, akan bermanfaat dalam membantu mempromosikan kesalinghubungan maritim China-ASEAN antara pelabuhan-pelabuhan bandar dan meningkatkan daya saing dan pembangunan rantau China-ASEAN.