Operasi pembenihan awan di S’wak bermula

Operasi pembenihan awan di S’wak bermula

KUCHING, 15 Sept (Bernama) – Operasi pembenihan awan di negeri ini yang bermula hari ini akan diteruskan sehingga 25 Sept, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak.

Menurut kenyataan jawatankuasa itu, langkah pembenihan awan perlu memandangkan Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Sarikei masih terjejas oleh jerebu yang berpunca daripada pembakaran hutan di Kalimantan Barat, Indonesia.

Ia menyatakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengaktifkan pelan tindakannya bagi mengurangkan kesan negatif jerebu dengan menjalankan operasi itu.

“Ia merupakan kerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia dan dibantu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Lembaga Air Kuching dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“TUDM menyediakan sebuah pesawat C130 dengan 17 anggota diketuai Lt Kol Suresh K.Vijayaratnam untuk melaksanakan operasi itu,” katanya.

Pemandangan dari udara bandar Sibu dan Sungai Rajang pada 12 tengah hari tadi. Bacaan Indeks Pencemaran Udara dilaporkan tidak sihat iaitu 116 setakat 2 petang tadi. – Bernama
Pemandangan dari udara bandar Sibu dan Sungai Rajang pada 12 tengah hari tadi. Bacaan Indeks Pencemaran Udara dilaporkan tidak sihat iaitu 116 setakat 2 petang tadi. – Bernama

Jawatankuasa itu turut merayu orang ramai mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka.

“JAS dan Lembaga Sumber Asli Dan Alam Sekitar Sarawak tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati melakukan pembakaran terbuka,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan negeri melaporkan berlaku kenaikan 30 peratus dalam bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan penyakit berkaitan jerebu di Bahagian Kuching dan Sri Aman.

Orang ramai juga dinasihat supaya minum banyak air, memakai topeng sesuai semasa berada di luar rumah dan mengurangkan aktiviti di luar.