Operasi penerbangan KK satu bumbung

Operasi penerbangan KK satu bumbung

KOTA KINABALU, 11 Ogos – Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) mahu semua operasi syarikat penerbangan di Kota Kinabalu disatukan di bawah satu bumbung bagi memastikan keselesaan penumpang dan kecekapan operasi.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Operasi MAHB, Datuk Azmi Murad berkata semua operasi syarikat penerbangan perlu disatukan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) memandangkan terminal itu mempunyai kemudahan lengkap dan mampu menampung kapasiti penumpang yang ramai.

Bagi tujuan itu, MAHB meminta kerjasama daripada syarikat penerbangan AirAsia Bhd yang ketika ini beroperasi di Terminal 2 KKIA, memindahkan operasi ke Terminal 1, seperti mana dilakukan Cebu Pacific Air pada Mac lepas.

“Di samping itu, Terminal 1 juga berupaya menampung kapasiti penumpang sehingga sembilan juta setiap tahun, berbanding hanya dua juta di Terminal 2. Jumlah penumpang yang dikendalikan pada tahun 2014 di kedua-dua terminal adalah 6.8 juta, iaitu di bawah kapasiti yang boleh ditampung di Terminal 1,” katanya kepada media selepas mengadakan tinjauan mesra di KKIA Terminal 2 dan 1 di sini, hari ini.

Beliau berkata adalah wajar bagi AirAsia memindahkan operasinya ke Terminal 1 memandangkan kapasiti penumpang di Terminal 2 melebihi daripada sepatutnya, iaitu 3.51 juta penumpang pada 2013, dan 3.6 juta pada tahun lalu.

Gambar fail menunjukkan pemandangan bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Sabah.
Gambar fail menunjukkan pemandangan bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Sabah.

“Bagi pertumbuhan masa depan, terdapat beberapa bidang tanah berhampiran Terminal 1 yang sedia untuk pengembangan. Berdasarkan unjuran pertumbuhan tahunan pada lima peratus, ia akan mengambil masa kira-kira lima hingga enam tahun untuk mencecah kapasiti sembilan juta,” katanya.

Pada Julai lepas, AirAsia Bhd memutuskan untuk kekal beroperasi di Terminal 2 walaupun telah mendapat arahan berpindah ke Terminal 1 pada 1 Ogos, dengan alasan ia akan memberi kesan kepada operasi perniagaan dan peningkatan caj perkhidmatan penumpang, daripada RM32 untuk penumpang antarabangsa yang dikenakan ketika ini, kepada RM65 seorang.

Bagaimanapun, Azmi berkata, ia sepatutnya tidak dijadikan isu kerana caj itu turut dikenakan di beberapa lapangan terbang dalam negara termasuk Pulau Pinang, Kuching dan Kuantan, selain ia merupakan caj perkhidmatan penumpang yang paling murah di rantau ini sambil menambah selain berlaku kesesakan, risiko keselamatan di Terminal 2 juga lebih tinggi berbanding di Terminal 1 disebabkan berlaku pertembungan ketika ketibaan dan pelepasan antara penumpang domestik dan antarabangsa.

Menurut Azmi, MAHB telah menyediakan 16 kaunter daftar masuk khusus untukAirAsia di Terminal 1 bagi memudahkan operasi syarikat penerbangan itu setelah berpindah ke sana. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA