Operasi rondaan cegah jenayah

Operasi rondaan cegah jenayah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 3 Ogos – Bagi memata-matai keselamatan jiran dan penduduk kampung, Balai Polis Kuala Belait bersama Ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Pandan C, baru-baru ini telah mengadakan operasi rondaan pencegahan jenayah di kawasan Kampung Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan.

Operasi yang dijalankan dengan rondaan berjalan kaki serta menggunakan kenderaan itu telah melibatkan seramai 10 anggota Balai Polis Kuala Belait, serta tiga ahli Skuad Tindakan Segera ibu pejabat Polis Panaga bagi mencegah kegiatan jenayah di persekitaran kampung berkenaan.

Seramai tujuh ahli pengawasan kampung juga ikut serta dalam operasi itu dengan memantau mana-mana kenderaan mencurigakan yang keluar masuk di kawasan kampung tersebut juga telah ditahan untuk pemeriksaan.

Operasi itu telah diketuai oleh Pegawai Pengawas Balai Polis Kuala Belait, ASP Wan Firdaus bin Haji Mohd Aminuddin, selain disertai sama oleh Ketua Kampung Pandan C, Haji Affandy bin Haji Awang Damit.

Antara pasukan yang terlibat dalam Operasi Rondaan Pencegahan Jenayah di persekitaran RPN Kampung Pandan C.
Antara pasukan yang terlibat dalam Operasi Rondaan Pencegahan Jenayah di persekitaran RPN Kampung Pandan C.

Rondaan sedemikian juga menjadi aktiviti pengawasan kejiranan yang bertujuan menjadi jentera utama gandingan orang ramai dan Pasukan Polis Diraja Brunei dalam melaksanakan pencegahan jenayah secara sukarelawan.

Manakala tujuan utama operasi itu adalah untuk menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk kampung serta persekitarannya.

Tiada sebarang kesalahan jenayah ditemukan sepanjang operasi berkenaan yang diadakan bermula kira-kira 10 malam dan berakhir tengah malam.

ARTIKEL YANG SAMA