Operasi rondaan, penyampaian sijil lantikan

Operasi rondaan, penyampaian sijil lantikan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 5Nov – Operasi Rondaan Pencegahan Jenayah diteruskan lagi dan kali ini melibatkan kawasan Kampung Pandan A malam tadi, dengan pemeriksaan secara berjalan kaki di persekitaran kampung berkenaan.

Operasi yang diketuai Pemangku Pegawai Penguasa Balai Polis Kuala Belait ASP Eric Chin turut disertai Ketua Kampung Pandan A, Awang Sulaiman bin Udin serta anggota polis Balai Polis Kuala Belait dan ahli-ahli pengawasan kejiranan kampung tersebut.

Bagaimanapun sepanjang operasi yang dilakukan selama kira-kira tiga jam bermula pukul 9:00 hingga 12:00 tengah malam itu, tidak menemukan sebarang kegiatan jenayah dan yang mencurigakan.

Terdahulu sebelum operasi rondaan bermula, telah berlangsung Majlis Penyampaian Sijil Lantikan Ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Pandan A, di kediaman Ketua Kampung Awang Sulaiman.

Antara ahli Jawatankuasa Pengawasan Kejiranan Kampung Pandan ‘A’ bersama anggota Balai Polis Kuala Belait semasa menyertai Operasi Rondaan Pencegahan Jenayah malam kelmarin.
Antara ahli Jawatankuasa Pengawasan Kejiranan Kampung Pandan ‘A’ bersama anggota Balai Polis Kuala Belait semasa menyertai Operasi Rondaan Pencegahan Jenayah malam kelmarin.

Seramai sebelas ahli-ahli pengawasan kejiranan kampung tersebut telah menerima sijil yang telah disempurnakan penyampaiannya oleh Pemangku Penguasa Balai Polis Kuala Belait, turut menerima ialah Awang Sulaiman selaku pengerusi jawatankuasa berkenaan bagi kampung itu.

Sementara itu rondaan turut dijalankan di kawasan Mukim Liang-Lumut dengan melibatkan penyertaan seramai 11 anggota Polis Sungai Liang dan empat ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Sungai Liang, disertai sama dua ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Lumut 1.

Operasi yang bermula 9 malam dan berakhir kira-kira empat jam itu diketuai Pegawai Penguasa Balai Polis Sungai Liang, Inspektor Mohd Sofian bin Haji Kifli dan disertai sama Pemangku Ketua Kampung Sungai Liang, Haji Ibrahim bin Dato Maharaja Setia Dian.

ARTIKEL YANG SAMA