Operasi SAR mula guna alat pengesan logam

Operasi SAR mula guna alat pengesan logam

KUCHING, 8 Mei (Bernama) – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) nahas helikopter akan mula menggunakan alat pengesan logam bagi mengesan bangkai pesawat terbabit, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

“Kita gunakan alat pengesan logam sekiranya ada isyarat daripada logam dan kita akan berusaha dapatkan penyelam di kawasan itu,” katanya pada sidang media harian di menara kawalan DCA di sini, hari ini.

Beliau berkata operasi SAR yang masuk hari keempat hari ini, akan tertumpu di kawasan seluas 870 kilometer (km) persegi di Sebuyau dan Lingga dekat Sungai Batang Lupar, kira-kira 220 kilometer dari sini.

Azharuddin berkata pasukan SAR juga telah menemui ekor pesawat dikenali sebagai ‘tail boom’ serta sebuah kusyen dipercayai milik helikopter itu.

“Sehingga 9.45 pagi ini, kita telah temui satu kusyen di kawasan Pulau Triso dekat muara Batang Lupar, dan juga ‘tail boom’ di Sungai Merah kira-kira 4 kilometer di Timur Laut Lingga.

Datin Mastura Mohd Yazid, isteri kepada Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad ditenangkan keluarga ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah bersama jenazah suaminya pada pukul 6.45 pagi kelmarin. – Bernama
Datin Mastura Mohd Yazid, isteri kepada Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad ditenangkan keluarga ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah bersama jenazah suaminya pada pukul 6.45 pagi kelmarin. – Bernama

“Antara cabaran dihadapi pasukan SAR ialah jarak penglihatan paling minima selain arus sungai yang deras,” katanya.

Ditanya tentang dakwaan bahawa helikopter malang itu membawa lebih muatan penumpang seramai enam orang sehingga menyukarkan juruterbang melakukan penerbangan, Azharuddin berkata ia hanya berbentuk spekulasi.

“Ia adalah spekulasi di media sosial dan biarlah Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) jalankan siasatan yang telah dimulakan sejak hari pertama sehingga kita tahu punca kemalangan berlaku,” katanya.

Sehingga kini, lima mayat penumpang helikopter itu telah ditemui termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon. Juga Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun.

Operasi mencari sedang giat dilakukan oleh 650 anggota pelbagai agensi untuk mencari juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas, yang masih hilang.

Helikopter malang jenis Eurocopter AS350 itu berlepas dari Betong ke Kuching pada 4.12 petang Khamis lepas, sebelum ia hilang daripada radar kira-kira tiga minit kemudian.