Operasi sasar Taman Menara Cendera Kenangan, kawasan jeti

Operasi sasar Taman Menara Cendera Kenangan, kawasan jeti

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT/BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Taman Menara Cendera Kenangan (MCK) yang sering dikunjungi anak-anak muda untuk melepak pada waktu malam menjadi sasaran dalam Operasi Pencegahan Jenayah anggota Balai Polis Kuala Belait bersama ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Pekan Kuala Belait, malam tadi. Operasi di kawasan MCK itu telah menemui banyak tin-tin kosong dan bekas botol minuman keras, bagaimanapun, tiada orang berada di sana semasa rondaan dijalankan.

Rondaan secara berjalan kaki dan menggunakan kenderaan itu melibatkan sekitar kawasan Pekan Kuala Belait, kawasan Feri Jalan Los Tanjung, kawasan berek kerajaan sehinggalah ke Jalan Setia Pahlawan.

Seramai lapan orang anggota polis bersama enam orang ahli pengawasan kejiranan kampung telah menyertai operasi berkenaan yang diketuai oleh Penolong Pegawai Penguasa Balai Polis Kuala Belait P/ASP Muhammad Wafiy bin Haji Zakaria dan turut disertai oleh Penghulu Mukim Belait, Haji Pungut bin Ali.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, juga malam tadi, seramai 16 orang ahli Pengawasan Kejiranan RPN Panaga turut menyertai rondaan pencegahan jenayah di sekitar kawasan RPN Panaga Seria.

Antara pasukan yang terlibat dalam Operasi Pencegahan Jenayah di Mukim Kuala Belait.
Antara pasukan yang terlibat dalam Operasi Pencegahan Jenayah di Mukim Kuala Belait.
Antara mereka yang terlibat dalam operasi rondaan cegah jenayah di Kampung Putat.
Antara mereka yang terlibat dalam operasi rondaan cegah jenayah di Kampung Putat.

Operasi itu telah diketuai oleh Focal Point Balai Polis Seria, Sarjan Zamri bin Haji Buang, dan disertai sama oleh Timbalan Pengerusi Pengawasan Kejiranan RPN Panaga, Awang Zaleha bin Lahap.

Operasi ini dilaksanakan bagi memantau kawasan yang sering berlaku kes kecurian, bagaimanapun, tiada sebarang aktiviti jenayah ditemukan semasa operasi itu.

Dalam pada itu di Daerah Brunei dan Muara, operasi rondaan cegah jenayah yang melibatkan 14 anggota Balai Polis Kampong Ayer dan 15 Ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Putat, baru-baru ini, tidak menemukan sebarang kesalahan jenayah.

Sebelum operasi dimulakan, taklimat mengenai situasi jenayah di kampung itu telah diadakan di Pos Balai Polis Putat, Kampung Putat yang dihadiri sama oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Putat, Yang Berhormat Haji Jumat bin Akim.

Rondaan selama lebih satu jam bermula pada 9:15 malam itu telah dijalankan di tempat penurunan perahu Kampung Putat, di kawasan sepanjang Jalan Putat dan pemantauan turut dilakukan di setiap jeti kawasan Jeti Kupang dan Jeti Pengkalan Batang.

ARTIKEL YANG SAMA