Operasi sempadan sehingga tengah malam

Operasi sempadan sehingga tengah malam

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) memaklumkan bahawa bermula 1 September ini, semua pos kawalan darat akan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Pos-pos kawalan yang dimaksudkan adalah Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah, Daerah Brunei dan Muara; Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh, Daerah Belait; Kompleks Kawalan dan Pemeriksaan Ujung Jalan dan Pos Kawalan Imigresen Labu, Daerah Temburong, menurut kenyataan JIPK, hari ini.

Dalam pada itu, JIPK juga menasihatkan kepada orang ramai yang berhasrat untuk membuat perjalanan ke luar negara di musim cuti sekolah melalui jalan darat supaya akan dapat merancang perjalanan dengan bijak bagi mengelak perjalanan mereka terperangkap dalam deretan kenderaan yang panjang walaupun waktu operasi pos-pos kawalan sudah dilanjutkan sehingga 12 tengah malam. JIPK, dalam kenyataannya, juga mengingatkan orang ramai supaya memastikan setiap dokumen perjalanan mereka dalam keadaan baik dan teratur serta masih mempunyai tempoh sah laku yang dibenarkan.

Selaras dengan pelaksanaan lanjut watu operasi baru ini, pihak pos-pos kawalan Malaysia turut melaksanakan waktu operasi yang sama.