Operasi sepadu buru PATI diteruskan

Operasi sepadu buru PATI diteruskan

LAHAD DATU, 11 Jun (Bernama) – Operasi bersepadu khas bagi memburu pendatang tanpa izin (PATI) di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) tetap diteruskan walaupun terdapat dakwaan operasi berkenaan menjejaskan ekonomi di zon tersebut.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Abdul Rashid Harun berkata operasi berkenaan tidak akan dihentikan malah operasi giat dijalankan di enam daerah – Kudat, Sandakan, Lahad Datuk, Kunak, Semporna dan Tawau itu akan diperluas lagi ke daerah lain di Esszone.

Katanya, operasi bersepadu yang diselaraskan Esscom itu disertai pelbagai agensi penguatkuasaan kerajaan negeri dan Persekutuan, bertujuan membebaskan Esszone daripada aktiviti penyeludupan dan PATI.

“Esscom tidak akan berkompromi ke atas pihak yang melindungi PATI termasuk majikan dan pemimpin di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan ceramah integriti dan keselamatan penjawat awam di Esszone, dekat sini hari ini.

Abdul Rashid berkata susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai PATI di Sabah (RCI) serta arahan daripada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman agar langkah berterusan dijalankan dengan operasi besar-besaran dilancarkan bagi membanteras kehadiran PATI di Sabah khususnya Esszone.

“Sebab itu, kami lancarkan Operasi Bersepadu Khas sebagai menyahut seruan kerajaan itu. Oleh itu, jangan ada pihak yang cuba mempersoalkan kewajaran misi murni kerajaan ini.

“Soal keselamatan adalah tanggungjawab kita bersama, dan keselamatan rakyat seharusnya mengatasi kepentingan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Abd Rashid turut menasihati kakitangan dan pegawai Esscom agar sentiasa amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas harian serta menjauhi amalan rasuah.