Operasi sepadu di Mukim Sengkurong

Operasi sepadu di Mukim Sengkurong

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Pasukan Polis Diraja Brunei telah mengeluarkan sebanyak empat peringatan dan lima kompaun ke atas pemandu serta 56 pemeriksaan kereta pada keseluruhannya semasa satu operasi sepadu di kawasan Mukim Sengkurong, baru-baru ini.

Dalam operasi yang melibatkan enam buah Balai Polis di bawah kawalan Daerah Polis Brunei Muara itu, kompaun yang dikeluarkan adalah atas sebab pelbagai kesalahan antaranya lampu kereta tidak menyala pada waktu malam, tayar botak/haus dan nampak benang, lampu isyarat kereta tidak berfungsi dan sebagainya.

Operasi itu turut membabitkan Balai Polis Pusat, Balai Polis Berakas, Balai Polis Muara, Balai Polis Limau Manis, Balai Polis Kampong Ayer dan diketuai oleh Balai Polis Sengkurong.

Turut hadir dalam operasi bulanan ini ialah pegawai-pegawai dan anggota-anggota balai-balai Polis di bawah Daerah Polis Brunei Muara iaitu Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis (Operasi) Penguasa Polis Mazalan bin Haji Awang Yaakub dengan penyampaian taklimat operasi disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Balai Polis Sengkurong.

Taklimat diadakan sebelum operasi dijalankan di kawasan Mukim Sengkurong.
Taklimat diadakan sebelum operasi dijalankan di kawasan Mukim Sengkurong.

Antara tujuan operasi ini dilakukan adalah bagi pencegahan jenayah khasnya dan menjalankan tugas-tugas Pasukan Polis Diraja Brunei dalam menjaga keamanan dan ketenteraman orang awam di negara ini.

Dengan adanya keberadaan pasukan polis itu dapatlah meningkatkan lagi keyakinan masyarakat mengenai pengurangan kadar jenayah daripada meningkat.

Sehubungan itu, pihak polis turut menasihatkan orang awam agar sentiasa mematuhi Akta Lalu lintas Penggal 68 Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA