Operasi Sepadu kesan kesalahan lalu lintas

Operasi Sepadu kesan kesalahan lalu lintas

Oleh Mohamad Asyramisyani
Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Sejumlah 190 peringatan dikeluarkan dalam Operasi Sepadu membabitkan enam buah balai Daerah Polis Brunei Muara yang bermula kira-kira jam 8 hingga 10 malam semalam.

Dalam operasi di kawasan Kampung Bebuloh, Kampung Pengkalan Batu, Kampung Bengkurong Masin dan Kampung Lumapas itu turut mencatatkan enam kes bagi pemandu-pemandu yang gagal menunjukkan (tidak membawa) lesen memandu atau sebarang dokumen pengenalan yang sah.

Sebanyak empat kesalahan lalu lintas (Doket) dikeluarkan di antaranya memandu tanpa lesen memandu dan memandu dengan pengaruh alkohol apabila ditahan dan diuji menggunakan alat analisa pernafasan.

Sebanyak 13 Kesalahan Lalu lintas membabitkan kompaun dikeluarkan di antaranya atas kesalahan lampu brek tidak menyala, lampu depan / belakang tidak berfungsi, nombor plat pendaftaran yang tidak jelas atau patah dan lain-lain kesalahan.

Sepanjang operasi itu juga sebanyak 44 “Stop & Search” telah dijalankan ke atas kereta-kereta yang ditahan semasa sekatan raya bagi tujuan pemeriksaan dan pengesanan kes-kes jenayah.

Pemeriksaan rapi dibuat ke atas salah sebuah kenderaan dalam Operasi Bersepadu berkenaan.
Pemeriksaan rapi dibuat ke atas salah sebuah kenderaan dalam Operasi Bersepadu berkenaan.
Suasana tatkala berlangsungnya Operasi Sepadu yang membabitkan enam buah Balai Daerah Polis Brunei Muara.
Suasana tatkala berlangsungnya Operasi Sepadu yang membabitkan enam buah Balai Daerah Polis Brunei Muara.

Mengetuai operasi berkenaan ialah Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara, Penguasa Polis Husaini bin Haji Matzin yang turut dibantu Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara (Operasi), Penguasa Polis Mazalan bin Haji Yakub dan Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara (Pentadbiran), Penguasa Polis Hajah Dayang binti Haji Omar.

Terdahulu, di sana juga berlangsung Majlis Berbuka Puasa, Solat Fardu Maghrib berjemaah sebelum diteruskan dengan taklimat operasi yang disampaikan oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Limau Manis, Inspektor Haji Shamsul Bahreen bin Haji Abu Bakar.

Menurut kenyataan Unit Perhubungan Awam Pasukan Polsi Diraja Brunei (PDRB), 129 anggota polis terlibat termasuk anggota balai, detektif (CID) dengan kerjasama anggota Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu lintas.

Antara tujuan operasi adalah untuk mencegah jenayah dan menjadi tugas am PDRB untuk menjaga keamanan dan ketenteraman orang awam di negara ini terutama sekali di tempat-tempat strategik yang kerap dilaporkan terjadinya aktiviti jenayah.

ARTIKEL YANG SAMA