Operasi Sepadu periksa penjualan mercun

Operasi Sepadu periksa penjualan mercun

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 3 Julai – Penjualan, memiliki, membuat atau bermain mercun atau mana-mana bahan letupan bunga api ditegah dan dilarang sama sekali di Negara Brunei Darussalam berdasarkan undang-undang Penggal 58 Senjata Api dan Bahan Letupan Seksyen 15.

Sesiapa yang didapati melanggar undang-undang tersebut boleh didakwa dan dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta hukuman tiga kali sebatan dan tidak melebihi 12 kali sebatan, serta denda sejumlah $3,000.

Sehubungan itu, bagi memastikan semua pihak mematuhi larangan dan tegahan ini, Daerah Polis Belait bersama agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang lainnya telah mengadakan operasi pemeriksaan bagi mencegah dan menangkap penjual mercun dan bahan letupan bunga api, secara serentak di tiga kawasan di Pekan Belait, Bangunan Wisma Yakin Pandan dan kawasan kedai Sungai Liang, kelmarin.

Bagaimanapun, operasi yang mengambil masa kira-kira dua jam dari jam 10 pagi sehingga 12 tengah hari itu tidak mendapati sebarang penjualan mercun atau bahan letupan bunga api.

Anggota-anggota pasukan penguat kuasa undang-undang menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kedai di Kuala Belait semasa Operasi Sepadu di kawasan Pekan Belait, bagi mencegah penjualan mercun dan bahan letupan bunga api.
Anggota-anggota pasukan penguat kuasa undang-undang menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kedai di Kuala Belait semasa Operasi Sepadu di kawasan Pekan Belait, bagi mencegah penjualan mercun dan bahan letupan bunga api.
Operasi Sepadu serentak di tiga buah kawasan di Daerah Belait bagi mencegah dan menangkap penjual mercun dan bahan letupan bunga api.
Operasi Sepadu serentak di tiga buah kawasan di Daerah Belait bagi mencegah dan menangkap penjual mercun dan bahan letupan bunga api.

Operasi Sepadu tersebut melibatkan empat orang pegawai dan 27 orang anggota pangkat rendah Daerah Polis Belait bersama agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang lainnya iaitu tiga orang dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, lapan orang dari Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria dan empat orang Jabatan Daerah Belait.

Ia telah diketuai oleh penolong pegawai siasatan jenayah Daerah Polis Belait dan turut disertai oleh pegawai penyelia detektif Daerah Polis Belait, pegawai penguasa Balai Polis Kuala Belait, pegawai penguasa Balai Polis Seria, pegawai penguasa Balai Polis Sungai Liang, pegawai penguat kuasa Jabatan Kastam Daerah Belait, pegawai penguat kuasa Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, dan pegawai penguat kuasa Jabatan Daerah Belait.

ARTIKEL YANG SAMA