Operasi sepadu TAP, APTK

Operasi sepadu TAP, APTK

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Tabung Amanah Pekerja (TAP) dengan kerjasama Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK) baru-baru ini telah mengadakan lawatan bersepadu ke premis-premis perniagaan di Daerah Brunei dan Muara bagi memastikan majikan telah menjalankan tanggungjawab mereka untuk mendaftarkan dan membayarkan caruman pekerja-pekerja tempatan ke dalam Skim TAP dan SCP.

Ia juga untuk memastikan majikan mematuhi undang-undang selaras dengan Perintah Pekerjaan 2009 yang mana semua pekerja tempatan mendapatkan hak mereka dan kesejahteraan pekerja tempatan di sektor swasta adalah terjaga.

Menurut kenyataan akhbar daripada TAP, hasil operasi lawatan tersebut menunjukkan bahawa terdapat majikan yang tidak memberikan kontrak perkhidmatan kepada pekerja tempatan dan juga memberikan waktu pekerjaan yang lebih daripada 8 jam tanpa dibayar gaji lebih masa.

Majikan yang gagal menunjukkan dokumen-dokumen yang diperlukan semasa lawatan itu telah diarahkan untuk membuat perjumpaan ke pejabat TAP bagi tindakan selanjutnya seperti proses pendaftaran pekerja serta proses pembayaran caruman yang tertunggak.

Adalah menjadi tanggungjawab kepada semua majikan untuk memberikan kontrak perkhidmatan kepada pekerjanya selaras dengan Perintah Pekerjaan, 2009.

Perjumpaan pegawai TAP berserta pegawai APTK bersama dengan pekerja.
Perjumpaan pegawai TAP berserta pegawai APTK bersama dengan pekerja.

Jika sabit kesalahan, majikan tersebut akan dijatuhkan hukuman denda atau penjara tidak kurang dari satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut perintah tersebut juga, seorang pekerja hanya dibenarkan bekerja sehingga had 72 jam kerja lebih masa dalam sebulan. Bagaimanapun, had lebih masa tersebut boleh melebihi jika mendapat kebenaran daripada Pesuruhjaya Buruh.

Sehubungan itu, mana-mana majikan yang gagal membayar pekerja-nya bayaran bagi Kerja lebih masa, majikan tersebut boleh didakwa dan jika sabit kesalahan akan didenda tidak melebihi $3,000 atau dipenjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, TAP juga turut memaklumkan bahawa pekerja yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat adalah wajib didaftarkan dan dicarumkan ke Skim TAP dan SCP, ini termasuklah pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari, dan pekerja didalam tempoh percubaan.

Sekiranya majikan gagal mendaftarkan dan mencarumkan pekerja tersebut, majikan boleh didakwa dibawah Bab 26, Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak kurang $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Sebarang pertanyaan bolehlah dibuat dengan me-ngunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 semasa waktu bekerja.