Operasi tegur tatacara penyediaan, keselamatan makanan

Operasi tegur tatacara penyediaan, keselamatan makanan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 6 Julai – Teguran telah diberikan kepada beberapa orang penyelia makanan berhubung tatacara menyediakan dan menjaga keselamatan makanan yang dijual semasa Operasi Pemeriksaan Gerai Ramadan dikendalikan oleh Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait di kawasan Mukim Liang di sini.

Teguran nasihat itu adalah bagi memastikan makanan yang dijual sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat kepada para pelanggan yang mengunjungi gerai berkenaan. Operasi bersepadu bersama Pejabat Perkhidmatan Kesihatan dan Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah tersebut diketuai oleh Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait.

Operasi berkenaan bertujuan untuk membuat pemeriksaan ke atas kebersihan dan keselesaan persekitaran kawasan gerai-gerai Ramadan, selain memastikan peralatan-peralatan penyediaan makanan sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat untuk digunakan serta bagi memastikan semua pengendali jualan di gerai berkenaan sentiasa mematuhi peraturan dan syarat-syarat yang ditetapkan.

Selain itu pemeriksaan kali ini lebih menitikberatkan penggunaan kontena Styrofoam yang digunakan bagi pembungkus makanan dan kebanyakan pengguna tidak menyedari kesan merbahaya dan risikonya terhadap kesihatan tubuh badan sekiranya bahan-bahan tersebut terdedah kepada bahan-bahan cecair yang berbahaya dan begitu juga penggunaan bekas botol air mineral yang diguna semula untuk menjual air-air manisan.

Semasa operasi tersebut Bahagian Kawalan Makanan Halal Jabatan Hal Ehwal Syariah pula menjalankan pemeriksaan ke atas pembelian daging-daging mentah yang dijual di gerai tersebut.

Pemeriksaan di kawasan Gerai Ramadan Mukim Liang oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait dan beberapa agensi penguatkuasaan lainnya.
Pemeriksaan di kawasan Gerai Ramadan Mukim Liang oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait dan beberapa agensi penguatkuasaan lainnya.