Operator Fukushima menang kontrak utiliti Qatar

Operator Fukushima menang kontrak utiliti Qatar

TOKYO, 25 Mei (AFP) – Operator kilang nuklear Fukushima berjaya mendapatkan kontrak infrastruktur tenaga dan air di negara padang pasir Qatar, katanya hari ini.

Tokyo Electric Power Company (TEPCO) dan firma perniagaan Jepun Mitsubishi Corp telahpun dipilih oleh sebuah syarikat yang disokong oleh kerajaan Qatar untuk membina dan mengendalikan kilang tenaga dan air selama 25 tahun, dalam satu projek bernilai kira-kira $2.5 bilion.

Pengumuman itu merupakan berita yang dialu-alukan untuk Perdana Menteri Shinzo Abe, yang telah memimpin kempen untuk syarikat Jepun menjual teknologi mereka di luar negara dan mewakili kejayaan komersial asing terbesar TEPCO sejak peleburan tiga kali di Fukushima pada 2011.

Bagaimanapun, perjanjian baru tidak termasuk teknologi nuklear.

Perjanjian itu, dimeterai di antara KI Energy, satu usaha sama yang ditubuhkan oleh Mitsubishi dan TEPCO, dan Qatar General Electricity and Water Corporation (KAHRAMAA), “adalah hasil tender antarabangsa yang dikeluarkan oleh KAHRAMAA pada Mei 2014,” kata syarikat Jepun dalam satu kenyataan.

Perjanjian pembelian muktamad akan dicapai di antara KAHRAMAA dan syarikat khas yang ditubuhkan menerusi satu perkongsian di antara KI Energy dan tiga syarikat Qatar lain, katanya.

“Syarikat khas tersebut akan membina, memiliki dan mengendali kilang penghasilan tenaga dengan kapasiti 2.4 gigawatt dan sebuah kilang penyahgaraman air dengan kapasiti 590,000 meter padu sehari di Qatar dalam tempoh 25 tahun,” katanya.

Operasi di tapak, terletak 20 kilometer dari selatan ibu negara Doha, “dijadualkan bermula pada tahun 2017,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA