Ops CEKUP: 11 warga asing ditahan

Ops CEKUP: 11 warga asing ditahan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Seramai 11 warganegara asing (9 lelaki, 2 wanita) telah ditahan sementara di Balai Polis Bandar Seri Begawan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen yang mengandungi pas imigresen yang sah dalam operasi CEKAP Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), tengah malam tadi.

Dalam serbuan mengejut ke atas tiga rumah dan bilik sewa warga asing di Mukim Berakas dan Mukim Sungai Kianggeh itu, sebanyak enam pas khas turut dikeluarkan ke atas lelaki warga asing dan tiga surat panggilan dikeluarkan kepada pihak majikan bagi membantu siasatan.

Menurut kenyataan JIPK, siasatan awal turut mendapati seorang wanita warga asing, yang ditangkap di sebuah bilik sewa di Mukim Sungai Kianggeh, memegang pas imigresen yang telah mansuh selama 96 hari dan akan dihadapkan ke mahkamah.

Operasi yang berjalan dari pukul 9:30 hingga 2:50 pagi tadi itu bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pegawai imigresen yang baru berkhidmat pengambilan tahun 2015 seramai 22 orang kepada tugas-tugas dan tanggungjawab Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang JIPK.

Seramai 11 warga asing ditahan dalam operasi mengejut ke atas rumah dan bilik sewa di Mukim Berakas dan Mukim Sungai Kianggeh.
Seramai 11 warga asing ditahan dalam operasi mengejut ke atas rumah dan bilik sewa di Mukim Berakas dan Mukim Sungai Kianggeh.

Sehubungan dengan itu, JIPK dalam kenyataannya, sekali lagi mengingatkan para majikan supaya sentiasa memastikan tempoh pas imigresen pekerja masih sah dan tidak mengambil bekerja warganegara asing yang bukan atas jaminan mereka atau “amah pinjam/ pemegang pas melawat” kerana jika sabit kesalahan majikan akan berdepan denda tidak kurang $3,000 bagi setiap pesalah imigresen.

Warga asing di negara ini juga dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan pas imigresen yang diberikan, serta tidak membuat urusan atau menyerahkan pasport kepada individu-individu yang menggelar diri mereka sebagai ejen yang boleh membuat urusan-urusan pasport kepada agensi yang berkenaan dan setelah itu menghilang tidak diketahui di mana keberadaannya.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan, JIPK mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah imigresen dengan menghubungi Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888, yang mana sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA