Ops Gempur kesan 16 kesalahan

Ops Gempur kesan 16 kesalahan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Sebanyak 16 kesalahan telah didapati oleh pegawai-pegawai Bahagian Undang-Undang, Jabatan Buruh semasa melaksanakan Operasi Gempur 44/2016 di sebuah perusahaan Kampung Lambak Kanan, pagi kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, dalam pemeriksaan ke atas kegiatan pembekal itu, kesalahan melibatkan 16 orang pekerja, yang terdiri daripada tujuh anak tempatan dan sembilan pekerja asing.

Antara kesalahan yang didapati, kesalahan jawatan dan penempatan yang tidak selaras dengan Kebenaran Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing iaitu melibatkan pekerja berjawatan pelayan restoran, buruh, pembantu dapur, promoter produk melakukan pekerjaan sebagai kerani.

Bagi pekerja kalangan anak tempatan, kesalahan yang didapati adalah dari segi kesejahteraan pekerja seperti masalah pemberian cuti awam dan tiada diberikan kontrak pekerjaan.

Menurut kenyataan itu, bagi kesalahan penempatan dan jawatan pekerja asing, akan diambil tindakan pembatalan/pengurangan kuota oleh Jabatan Buruh ke atas Kebenaran Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing majikan dan pekerja berkenaan akan dibatalkan sokongan pas kerja dan dipulangkan ke negara asal.

Semasa pemeriksaan dijalankan oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Buruh.
Semasa pemeriksaan dijalankan oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Buruh.

Manakala itu, bagi kesalahan berikutan isu kesejahteraan pekerja terutamanya kepada pekerja anak tempatan, Jabatan Buruh tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas majikan.

Sehubungan itu, Jabatan Buruh memberikan peringatan kepada orang ramai dan majikan supaya tidak menyalahgunakan Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing yang diberikan yang mana kesalahan mengambil dan menggaji pekerja asing tanpa kebenaran Pesuruhjaya Buruh, boleh diambil tindakan di bawah Bab 112 (1) Perintah Pekerjaan, 2009.

Jika sabit kesalahan boleh diambil tindakan Undang-undang kesalahan di bawah Bab 112 (3) perintah yang sama iaitu didenda tidak kurang $6,000 dan tidak lebih $10,000 atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai bolehlah menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Buruh di talian 2381848 jika mempunyai sebarang maklumat mengenai penyalahgunaan Lesen Mengambil dan Mengaji Pekerja Asing.

ARTIKEL YANG SAMA