Ops Gempur sasar penjual karpet

Ops Gempur sasar penjual karpet

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Dalam usaha berterusan untuk memastikan bahawa majikan dan pekerja asing yang bertugas tidak menyalahi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh mengadakan Operasi Gempur 47/2016 dengan menumpu kepada kegiatan pekerja asing menjual karpet dari rumah ke rumah di kawasan Kampong Ayer, Bandar Seri Begawan, Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.

Menurut kenyataan dikeluarkan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh, empat orang Pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Buruh telah menjalankan pemeriksaan ke atas kegiatan pekerja asing ini yang mula menjual karpet dari jam 8 pagi lagi.

Empat orang penjual karpet asing diperiksa semasa operasi dijalankan.

Mereka ini didapati melakukan kesalahan jawatan dan penempatan kerja tidak selaras dengan Kebenaran Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing yang mana sebahagiannya berjawatan tukang jahit dan pengurus.

Salah seorang penjual karpet warga asing diambil keterangan oleh pegawai penguat kuasa.
Salah seorang penjual karpet warga asing diambil keterangan oleh pegawai penguat kuasa.

Bagi kesalahan penempatan dan jawatan pekerja asing berkenaan akan diambil tindakan pembatalan/pengurangan kuota oleh Jabatan Buruh ke atas majikan dan pekerja berkenaan akan dibatalkan sokongan pas kerja dan dihantar pulang ke negara asal.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh memberikan peringatan kepada orang ramai dan majikan supaya tidak menyalahgunakan Lesen Mengambil dan Menggaji Pekerja Asing yang diberikan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Bab 112 (1) Perintah Pekerjaan, 2009, dan diambil tindakan Undang-undang kesalahan di bawah Bab 112 (3) Perintah yang sama iaitu didenda tidak kurang $6,000 dan tidak lebih $10,000 atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

ARTIKEL YANG SAMA