Ops KESAN: Lima warga asing ditahan

Ops KESAN: Lima warga asing ditahan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Lima orang lelaki warga asing telah ditahan sementara di Balai Polis Pusat, Bandar Seri Begawan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen yang mengandungi pas imigresen yang masih sah dalam Operasi Bersepadu KESAN Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) tengah malam tadi.

Operasi yang menyasarkan empat buah rumah sewa dan bilik-bilik sewa berasingan di Mukim Sengkurong dan Mukim Pengkalan Batu itu turut melibatkan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Buruh, Bahagian Penguatkuasaan Agama, Bahagian Pencegah Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Menurut kenyataan JIPK, hari ini, dalam operasi dari pukul 10 malam hingga kira-kira 3:30 pagi itu, Bahagian Pencegah JKED telah mencatatkan lima kes warga asing yang didapati menyimpan rokok tanpa amaran kesihatan Negara Brunei Darussalam semasa pemeriksaan di bilik-bilik sewa yang berasingan di Mukim Sengkurong.

Manakala Bahagian Penguatkuasaan Agama mencatatkan empat kes, melibatkan tiga pasangan warga asing dan satu pasangan, perempuan tempatan dan lelaki warga asing, yang gagal menunjukkan bahawa mereka adalah pasangan yang sah.

Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Buruh pula mendapati seorang lelaki warga asing melakukan kesalahan penempatan dan jawatan tukang jahit.

Lelaki warga asing yang mansuh pas Imigresen tertangkap basah dalam Ops Bersepadu.
Lelaki warga asing yang mansuh pas Imigresen tertangkap basah dalam Ops Bersepadu.
Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Buruh membuat catatan ke atas pekerja asing.
Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Buruh membuat catatan ke atas pekerja asing.
Bahagian Pencegah Jabatan Kastam membuat catatan ke atas penemuan rokok tanpa amaran Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam.
Bahagian Pencegah Jabatan Kastam membuat catatan ke atas penemuan rokok tanpa amaran Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam.

Lelaki itu dipercayai melakukan pekerjaan membuat dan menjual tempe, yang boleh mendorong majikan melakukan kesalahan di bawah Bab 112(1) Perintah Pekerjaan 2009 , jika sabit kesalahan boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Bab 112 (3) perintah yang sama iaitu denda tidak kurang $6,000 dan tidak lebih $10,000 atau penjara enam bulan dan tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi yang melibatkan seramai 56 orang pegawai penguatkuasaan itu bertujuan untuk menyatupadukan agensi-agensi penguatkuasaan di negara ini dengan mengongsikan maklumat bagi menguatkuasakan undang-undang dan peraturan masing-masing.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dengan menghubungi talian Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888.

Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA