Ops saman kereta Brunei

Ops saman kereta Brunei

Oleh Hajah Saemah Kepli

MIRI, 15 Okt – Terperanjat, panik dan tidak kurang juga rasa bimbang adalah perasaan yang dilahirkan oleh ramai pemandu kenderaan bernombor pendaftaran Brunei, setelah mereka ditahan melalui operasi besar-besaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) cawangan Lalu lintas dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di kawasan berdekatan Plaza Tol ASEAN, Miri hari ini.

Dalam operasi tersebut, kenderaan bernombor pendaftaran asing yang dalam perjalanan dari Miri menuju ke Pos Kawalan Brunei diperiksa dan menahan kenderaan yang dikenal pasti tersenarai di dalam Myeg online telah melakukan kesalahan lalu lintas sama ada memandu melebihi had laju atau kesalahan lalu lintas lainnya termasuk bagi kesalahan meletakkan kereta.

Salah seorang pegawai bertugas dalam operasi tersebut memberitahu Media Permata, mereka telah memulakan pemeriksaan hari ini sejak pintu pos kawalan dibuka dan akan diteruskan sehinggalah pintu pos kawalan ditutup pada sebelah malam.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan sehingga bila operasi tersebut dijalankan tetapi berkata, satu sidang media dijangka diadakan Sabtu ini di pejabat kawasan tol berkenaan bagi menjelaskan mengenai operasi itu.

Operasi menahan kereta bernombor pendaftaran asing diadakan di kawasan Tol ASEAN, Miri.
Operasi menahan kereta bernombor pendaftaran asing diadakan di kawasan Tol ASEAN, Miri.
Mereka yang ditahan, mengenal pasti sendiri kesalahan yang mereka lakukan melalui komputer yang disediakan oleh pihak PDRM.
Mereka yang ditahan, mengenal pasti sendiri kesalahan yang mereka lakukan melalui komputer yang disediakan oleh pihak PDRM.

Menurutnya, operasi besar-besaran itu dilakukan untuk mendidik orang awam terutama sekali pemandu supaya sentiasa memeriksa Myeg online dan mengenal pasti kesalahan yang dilakukan dan jika ada kesalahan hendaklah segera membuat pembayaran ke atas saman yang dikenakan.

Pembayaran juga boleh dibuat secara online melalui website Myeg dan RILEK, ujar beliau.

“Kawasan yang dikenal pasti tidak selamat dan kawasan yang sering berlaku kemalangan merupakan laluan yang telah dihadkan kelajuan. Kesalahan dikenal pasti melalui penggunaan alat Automated Vehicle Plate Recognition (ANPR). Pembayaran perlu dibuat jika melakukan sebarang kesalahan lalu lintas.

“Jika gagal berbuat demikian, mengikut Seksyen 64 Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) Akta Pengangkutan Jalan 1987, mana-mana orang yang masih mempunyai perkara yang belum selesai dengan JPJ atau kerajaan Malaysia, ken-deraan mereka boleh disita,” jelasnya.

Sementara itu beberapa orang pemandu yang terlibat ditahan dan membuat pembayaran saman ketika ditemu bual memberitahu Media Permata, mereka tidak tahu yang mereka membuat kesalahan sehingga hari ini, ditahan dan dikenakan membuat pembayaran paling minima RM100.

Salah seorang daripada mereka, yang hanya mahu dikenali sebagai Mr. K, terpaksa menunggu lebih lima jam di kawasan khemah operasi tersebut sehingga bayaran sampai dibawa oleh rakan sekerjanya di syarikat tempatnya bekerja.

“Kereta yang saya pandu, didapati melakukan kesalahan melebihi had laju, yang didapati melalui Myeg Online oleh pihak PDRM. Saya sendiri baru saja memandu kereta berkenaan hari ini, kerana mengganti tempat pemandunya yang sudah berhenti kerja, atas urusan syarikat ke Miri hari ini,” katanya.

Menurut Mr. K, dia tidak dibenarkan pulang jika tidak membuat pembayaran, kerana dia diberitahu itu sudah menjadi undang-undang pihak berkenaan.

“Saya terpaksa akur, dan terpaksa menunggu di sini sehingga pihak syarikat datang membuat pembayaran,” ujarnya.

Sementara itu dua orang adik beradik berasal dari Lawas, Limbang yang memandu kereta bernombor pendaftaran Brunei, yang dalam perjalanan dari hospital Miri menuju ke Bandar Seri Begawan, turut ditahan.

“Setentunya kami panik, jika ditahan pihak polis lalu lintas, kerana sudah tentu ada kesalahan yang kami lakukan, tetapi menjadi persoalan apakah kesalahan kami itu, kerana tidak pernah menerima sebarang surat atau sebagainya, dan kami bukanlah bijak sangat menggunakan kemudahan Internet dan sebagainya, kerana kami hanyalah nelayan biasa,” kata mereka meluahkan kekecewaan.

“Kami tidak menafikan jika peraturan dan undang-undang atau sistem cara menggunakan kamera merakamkan kesalahan memandu lebih had laju atau meletakkan kereta di tempat yang salah dan sebagainya sudah dimulakan ataupun sudah lama dikuatkuasakan, cuma kami tidak pernah diberitahu atau dimaklumkan mengenainya.”

Pemandu yang lain pula memberitahu, di kawasan pembayaran, mereka ditunjukkan kesalahan yang telah dilakukan boleh dilihat secara online melalui komputer yang disediakan, dan pembayaran boleh dilakukan juga dengan menggunakan kad kredit jika tidak mempunyai wang tunai, dan resit dikeluarkan oleh pihak PDRM.

ARTIKEL YANG SAMA