Ops TEGAS catat 49 lagi kes doket, kompaun

Ops TEGAS catat 49 lagi kes doket, kompaun

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Dis – Ops TEGAS Pasukan Polis Diraja Brunei diteruskan lagi di keempat-empat daerah malam tadi, dengan mencatatkan 49 kes doket dan kompaun.

Di Daerah Temburong, operasi sekatan jalan raya dijalankan di Jalan Puni, Ujung Jalan dengan melibatkan lapan anggota Daerah Polis Temburong, di mana satu kes kompaun dicatatkan, di samping 97 pemeriksaan.

Daerah Polis Belait pula menjalankan operasi di dua lokasi termasuk di hadapan Soon Lee Sungai Liang yang melibatkan lapan anggota Balai Polis Sungai Liang dengan dibantu oleh dua ahli Skuad Tindakan Segera, Panaga, empat ahli OPSO dan dua ahli Balai Polis Labi di mana satu kesalahan kompaun dilaporkan.

Sementara itu, anggota Balai Polis Seria seramai lima orang pula menjalankan operasi di kawasan Refinery Seria bagaimanapun tiada kesalahan dicatatkan, hanya empat diberikan surat peringatan Polis 190.

Operasi sekatan jalanraya yang diadakan di kawasan Refinery Seria.
Operasi sekatan jalanraya yang diadakan di kawasan Refinery Seria.
Anggota polis sedang membuat pemeriksaan semasa operasi tersebut.
Anggota polis sedang membuat pemeriksaan semasa operasi tersebut.

Di Daerah Brunei dan Muara pula, operasi melibatkan Balai Polis Pusat di Jalan Bengkurong Masin dekat Jabatan Kerja Raya Sinarubai, Balai Polis Berakas di lebuh raya (berdekatan dengan Jabatan Pengangkutan Darat), Balai Polis Kampong Ayer di depan stesen elektrik Jalan Lumapas dan Balai Polis Muara di Lebuh Raya Muara-Tutong hala ke Muara.

Secara keseluruhannya, sebanyak lapan kes kompaun dan tiga kes doket di samping empat peringatan Polis 190 dan 45 pemeriksaan dicatatkan di keempat-empat lokasi sekatan jalan raya berkenaan yang melibatkan 38 anggota Daerah Polis Brunei dan Muara.

Dalam pada itu, Jabatan Siasatan dan Kawalan lalu lintas turut menjalankan operasi seumpamanya di lima lokasi iaitu Jalan Beribi Link, Jalan RIPAS hala Tutong, Lebuh Raya Tunku Link, Jalan Beribi Jangsak dan Lebuh Raya Muara-Tutong yang melibatkan 55 orang anggota.

Sebanyak 30 kes kompaun termasuk 20 kesalahan memandu melebihi had laju dan enam kes doket telah dicatatkan di lokasi-lokasi sekatan jalan raya berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA