Optimis laksana sistem Bas Rapid Transit

Optimis laksana sistem Bas Rapid Transit

KOTA KINABALU, 22 Okt – Kerajaan Negeri Sabah optimis untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang kondusif dan efisien menerusi pelaksanaan Bas Rapid Transit khususnya di bandar raya Kota Kinabalu.

Untuk itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata kajian akan dilakukan bagi melihat keberkesanan dan kerelevanan pelaksanaan sistem itu di negeri ini.

Beliau berkata persetujuan yang dicapai pada mesyuarat Kabinet negeri pada Rabu itu membuktikan kerajaan negeri komited dan bertanggungjawab dalam mewujudkan sistem pengangkutan awam canggih bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat.

“Kerajaan negeri sedar bahawa kita sememangnya memerlukan satu sistem pengangkutan awam canggih seperti Bas Rapid Transit termasuk penggunaan transit aliran ringan (LRT), Komuter dan MRT atau mana-mana pendekatan yang dilihat bersesuaian untuk kita laksanakan.

“Bagaimanapun, untuk merealisasikan semua ini, ia tertakluk kepada keadaan kewangan kerana untuk membangunkan kesemua sistem itu bukan sesuatu yang mudah dan ia memerlukan peruntukan kewangan berbilion ringgit,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2015 di sini, hari ini.

Persidangan anjuran Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Sabah bertemakan ‘Perancangan Pengangkutan Awam Untuk Kehidupan Lebih Selesa Di Bandaraya di Sabah’ itu diadakan untuk membincangkan dan mencetuskan idea bersesuaian dalam menyelesaikan isu perancangan bandar di negeri ini.

Musa berkata perancangan pengangkutan awam perlu diberi keutamaan bagi merealisasikan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan bandar memandangkan ia adalah antara aspek utama ke arah pewujudan bandar raya bersifat lebih ‘liveable’.

“Tanpa pengangkutan yang berkesan, ekonomi negeri ini tidak akan berkembang pesat dan hal ini sekali gus menjejaskan kemajuan diharapkan rakyat,” katanya.

Justeru, Musa berharap peserta yang menyertai persidangan itu memanfaatkan peluang tersebut sebaiknya dalam menghasilkan cadangan terbaik bagi mewujudkan integrasi dan sistem pengangkutan awam yang lebih efisien dan kondusif di Sabah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pula berharap peserta terdiri daripada pakar perancangan bandar dan wilayah itu memikirkan kaedah penyelesaian terbaik agar ia mampu menjadi pemacu dalam memperkasa pengangkutan awam di Sabah.

Ini kerana, katanya, sistem perhubungan jalan raya dan kualiti pengangkutan awam di Sabah yang masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain di Malaysia menuntut agar adanya satu sistem pengangkutan awam berkesan di negeri ini.

“Jika kita tidak merangka perancangan ini dari sekarang, berkemungkinan besar Sabah tidak akan dapat menampung aliran trafik yang semakin meningkat dan ini sekali gus melambatkan perkembangan ekonomi negeri,” katanya. – Bernama